Konvoi Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Tiba di Pusat Gaza

Isnin lalu, konvoi bantuan kemanusiaan dan perubatan tiba di pusat Gaza. Bantuan kemanusiaan ini diberikan oleh jamaah Ansar As Sunnah, salah satu gerakan Islam di Mesir yang berhaluan Salafy.

Dan bantuan ini merupakan bantuan pertama yang tiba di Gaza serta disampaikan oleh 'Salafy' Mesir, seminggu selepas serangan zionis Israel terhadap konvoi armada kebebasan, di mana dalam aksi brutal zionis Israel tersebut menewaskan 9 orang warga Turki.

Syaikh Ahmad Yusuf, setiausaha agung jamaah itu mengatakan bahawa bantuan yang mereka salurkan ke pusat Gaza bernilai 500,000 poundsterling, terdiri daripada 190 tan gula, beras, tepung, kacang-kacangan berikut dengan sejumlah besar ubat-ubatan perubatan.

Syaikh Ahmad Yusuf juga menyatakan bahawa keputusan untuk menghantar bantuan ke Jalur Gaza sudah ada sejak beberapa bulan yang lalu, namun adanya penutupan sempadan Rafah oleh kerajaan Mesir, maka penghantaran bantuan tersebut tertunda sebelum akhirnya Selasa terakhir Presiden Mubarak membenarkan dibukanya sempadan Rafah.

Hal tersebut disampaikan oleh Syeikh Yusuf pada surat khabar Al-Mashri Al-Yaum hari Rabu terakhir (9 / 6). Ia mengatakan bahawa bantuan yang mereka hantar sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban rakyat Gaza yang telah lama menderita oleh kepungan zionis Israel.

"Negara-negara Arab dan dunia Islam harus bersatu untuk merespon kepungan Israel terhadap Jalur Gaza," katanya menegaskan.

Dia menjelaskan bahawa kumpulan mereka sedang mempersiapkan untuk menghantar konvoi bantuan lanjutan dalam beberapa hari mendatang, terutama bekerjasama dengan komuniti Bulan Sabit Merah yang diharapkan akan mempermudah masuknya bantuan kemanusiaan ke Jalur Gaza setelah pembukaan persimpangan sempadan Rafah.

- EraMuslim

TG Nik Aziz: PAS perlu bina masa depan politik bersama Pakatan

Suasana dewan persidangan di Putik ketika majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak oleh Menteri Besar Kelantan

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak sambil menegaskan, masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru.

Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana dilihat oleh Umno-BN dan negara-negara lain.

Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

“Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini sebentar tadi.

Nik Aziz berkata beliau melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS.

“Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim (Cina, India, Siam atau Orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja.

“Melayu ajar Melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakan kita adalah madu kita,” kata beliau.

Kata beliau, strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci PAS adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara.

“Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya,” kata beliau.

Atas alasan inilah, tegas Nik Aziz, beliau mahu PAS dan Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.

“Pilihan raya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali,” katanya.

“Bagi orang yang beragama, pilihan raya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah.

“Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita,” katanya.

Justeru itu, kata Nik Aziz, PAS hendaklah berani menawarkan alternatif terbaru – Pakatan Rakyat dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa “kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat urus tadbir baik iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab.

“Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbual dengan Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh (kanan) selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak di Kota Baru malam tadi.
“Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau amat berharao agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Nik Aziz juga berkata, pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu,” kata beliau.

Nik Aziz mengingatkan agar memerhati perkembangan itu dengan serius.

Ini kerana menurut beliau, PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno.

“Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri,” kata beliau.

Justeru, menurut beliau, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

“Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya,” katanya
.

Peguam Negara Bakal Hilang Kuasa Mutlak Pendakwaan... Apakah Kerajaan Najib Bersetuju???

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Perlembagaan berhubung kuasa mutlak pendakwaan yang kini dimiliki penuh oleh Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus diberikan kuasa pendakwaan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan badan itu.

"Kita tidak mahu timbul isu di mana pegawai SPRM telah menyiapkan kertas siasatan yang akhirnya kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara.

"Kita tidak mahu lagi karenah birokrasi untuk kita mengangkat peranan SPRM sesuai dengan Pindaan 2009.

Menurut Salahuddin, laporan berhubung cadangan tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan membentangkannya di Dewan Rakyat bagi ahli parlimen membahaskan laporan tersebut.

Sebelum itu, pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen tengahari semalam berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu yang baru sahaja selesai.
"Kita berpendapat agar dipinda Perlembagaan untuk memberi kuasa pendakwaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"SPRM pada waktu ini mempunyai bidang kuasa terhad apabila hanya diberi kuasa menyiasat sahaja dan tidak boleh membuat pendakwaan dan rakyat melihat sebagai tidak efisyen dan kredebiliti mereka diragui dan dengan cadangan tersebut kita berharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Tambahnya, jika berlaku pindaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM akan mempunyai kuasa mutlak berhubung pendakwaan kes rasuah, manakala Peguam Negara tidak lagi terlibat.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Senator Ir Zamri Yusuf.

-SK

Demi Gaza: Faizal Tahir Mahu Ke Palestin & Mati Syahid

Faizal menangis melihat kesengsaraan saudara Islam di bumi Palestin. - Foto oleh ART CHEN

PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir menawar diri untuk menyertai misi kemanusiaan dan sanggup mati syahid bagi membantu rakyat Palestin yang menghadapi kekejaman rejim Zionis Israel.

Faizal mengakui menangis apabila melihat menerusi internat dan membaca kisah-kisah kekejaman yang dilakukan oleh rejim tersebut terhadap umat Islam yang tidak bersalah.

“Saya tidak malu untuk berterus terang yang saya menangis melihat kesengsaraan saudara kita di bumi Palestin terutama penduduk Gaza,” katanya ketika ditemui selepas ditemu bual menerusi rancangan terbitan TV3, Wanita Hari Ini (WHI) di sini, semalam.

Faizal yang juga bapa kepada tiga orang anak berkata, jika ada tawaran daripada badan-badan sukarelawan untuk mengajaknya ke sana, dia tidak akan menolak.

Ini kerana adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang Islam untuk sama-sama membantu dan sekurang-kurangnya memberi sokongan kepada golongan yang dihimpit kesengsaraan.

“Sekiranya tidak bercanggah dengan jadual tugas dalam bidang seni, saya bersedia untuk meninggalkan isteri dan tiga orang anak saya bagi menyertai mana-mana misi kemanusiaan sebagai tanda sokongan saya kepada rakyat Palestin. Saya pun sanggup mati syahid,” katanya.

Lebih menguatkan perasaan itu apabila ayahnya, Dr. Mohd. Tahir yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah badan sukarelawan turut terlibat menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat tersebut.

Ujar lelaki yang popular dengan lagu Sampai Syurga ini, atas sebab itu juga dia sanggup menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan untuk menyertai mana-mana aktiviti sukarelawan yang dianjurkan stesen televisyen itu.

Bagaimanapun secara kebetulan TV3 sedang menggerakkan kempen Bebaskan Bumi Palestin yang seterusnya menawarkan Faizal menjadi duta bagi menjayakan kempen tersebut.

“Ketika hati saya dirundung kesedihan mengenangkan mereka yang kurang bernasib baik itu, TV3 pula bersetuju melantik saya menjadi duta kempen ini. Saya amat bertuah,” katanya.

Menerusi aktiviti tersebut kata Faizal, dia akan memainkan peranannya sebagai seorang artis untuk berkongsi cerita dengan orang ramai dalam menyalurkan mesej kemanusiaan.

Kempen yang tidak melibatkan apa-apa sumbangan dan kutipan wang itu akan dilakukan dalam bentuk penerbitan klip video selama 30 saat yang akan disampaikan oleh Faizal.

“Setiap kali menonton klip video berkenaan, ia akan memberi peringatan kepada mereka mengenai kesusahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh umat Islam yang telah ditindas.

“Dalam klip video itu juga saya akan meminta rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin kerana hanya dengan doa sahajalah bentuk sumbangan yang mudah dan mampu kita beri ,” katanya.

Tambah Faizal lagi, kebenciannya terhadap tentera Israel bertambah apabila mereka tergamak menawan kapal Mavi Marmara dan MV Rachel Corrie yang turut membawa sukarelawan Malaysia.

- MStar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.