Halimaton Tak Jadi Kahwin Tumpukan Kepada Persekolahan

Oleh Nahar Tajri


Pelajar pintar mahu sambung semula persekolahan, buat persiapan duduki PMR

ALOR SETAR: Pelajar pintar, Halimaton Abd Rashid, 15, yang kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kaunseling, membatalkan hasratnya untuk berkahwin sebaliknya mahu menyambung semula persekolahan dan menumpukan pada persiapan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hujung tahun ini. Halimaton, yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak 22 Mac lalu, kerana ingin berkahwin dengan teman lelaki yang melarikannya, kini mahu kembali ke sekolah dan mengikuti pelajaran seperti biasa.

Dia yang dibawa pulang oleh keluarganya dengan bantuan kakitangan JKM dan polis Jumaat lalu, dikatakan merindui alam persekolahan, termasuk rakan dan gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang.

Sumber yang rapat dengan keluarga gadis terbabit memberitahu, Halimaton yang sudah kembali ke pangkuan keluarganya kini beransur pulih dan dia semakin tenang selepas mendapat rawatan tradisional dan menjalani sesi kaunseling yang diberi oleh JKM.

"Ketika pertemuan pertama selepas menghilangkan diri, Halimaton sering menangis dan meminta maaf kepada keluarga terutama ibunya. Dia menyesal kerana melakukan kesilapan sebelum ini selain mendakwa segala yang berlaku sebelum ini tanpa disedarinya.

“Dia juga amat merindui rakan dan guru di sekolahnya selain ingin kembali bertemu dengan anak jiran yang mengikuti kelas Matematik yang dikendalikan Halimaton sendiri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Katanya, Halimaton juga terkejut dengan laporan akhbar mengenai kisah dia ingin berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, dan ternyata dia amat sedih kerana semua itu berlaku tanpa disedarinya.

“Dia sebenarnya amat terkejut kerana bagi Halimaton, itu bukan dirinya yang sebenar,” katanya.

Difahamkan JKM Kedah juga akan membantu membawa Halimaton kembali untuk melanjutkan pelajarannya dengan kemungkinan dia ditukar ke sekolah lain demi masa depannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi berkata, tempoh reman teman lelaki pelajar pintar itu tamat hari ini.

Difahamkan, penyelia restoran di Langkawi itu yang ditahan polis sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kehilangan Halimaton serta menyimpan kad pengenalan gadis berkenaan.

Semalam, akhbar ini melaporkan Mohamad Noor ditahan polis pada Jumaat lalu. Dia ditahan di rumahnya oleh sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi sebelum dihantar ke IPD Kuala Muda.

Tenyata Kerajaan Tak Berduit: Langkah Penjimatan kerajaan beri kesan kepada Peniaga Dan Pengusaha Hotel Di Langkawi




LANGKAWI: Pengusaha hotel, kedai bebas cukai dan pemandu teksi daerah ini mendakwa perniagaan mereka merosot teruk sejak kebelakangan ini dan tidak mustahil terpaksa gulung tikar dalam tempoh terdekat. Difahamkan, masalah itu berpunca daripada langkah penjimatan yang diamalkan jabatan kerajaan bagi mematuhi arahan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 2008 dan Surat Arahan Perbendaharaan berkaitan Pengurusan Kewangan Secara Berhemah.

Sehubungan itu, lebih 30 pengusaha hotel, peniaga bebas cukai dan pemandu teksi daerah ini menubuhkan jawatankuasa bertindak dipengerusikan Pengurus Besar Hotel Langkawi Seaview, Ooi Cheng Ping bagi mencari jalan penyelesaian.

Sehingga kelmarin, jawatankuasa itu sudah mengadakan mesyuarat pertama dan menjalankan kempen mengumpul tanda tangan semua pengusaha pelancongan untuk merayu Kementerian Kewangan mengkaji semula arahan berkenaan.

Ooi berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini perniagaan hotel di Langkawi merosot sehingga 50 peratus dan kadar penginapan pula menurun sebanyak 40 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Keadaan ini disebabkan sektor kerajaan tidak lagi dibenarkan mengadakan kursus, seminar atau apa-apa majlis rasmi di hotel sebagai langkah penjimatan, sekali gus menyebabkan pendapatan kami merosot teruk.
"Jika keadaan berterusan, tidak mustahil kebanyakan hotel bajet di pulau ini yang bergantung kepada pakej kursus agensi kerajaan akan gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi," katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri lebih 30 pengusaha pelancongan sebelum bersepakat merayu kepada Kementerian Kewangan melonggarkan syarat yang merugikan sektor pelancongan itu.

Ooi berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan industri pelancongan di Langkawi terus berkembang, selain mengelak lebih banyak masalah sosial apabila pekerja terpaksa diberhentikan kelak.

Thailand Salahkan Negara Luar Gagal Bertindak Terhadap Thaksin (Termasuk La Malaysia, Tapi Dia Tak Sebut)


WASHINGTON: Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya semalam membidas masyarakat antarabangsa kerana gagal mengambil tindakan sesuai ke atas bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang dipersalahkan kerana menghuru-harakan negara itu ketika ini.

“Mereka ibarat 'mencuci tangan' tetapi dia (Thaksin) sebenarnya pengganas yang mencetuskan kejadian berdarah di Thailand sekarang," katanya. Kasit memberi contoh negara seperti Russia dan Jerman yang hanya menutup sebelah mata apabila Thaksin yang didapati bersalah dalam jenayah rasuah, dibenarkan memasuki negara itu.

Beliau juga memberi contoh apabila Dubai membenarkan Thaksin yang kaya raya menjadikan bandaraya itu sebagai pangkalan perniagaannya selain Nicaragua dan Montenegro yang juga membenarkan Thaksin masuk melawat negara berkenaan.

“Ia jelas menunjukkan wujudkan campur tangan negara ketiga - bagaimana Russia boleh membenarkannya memasuki negara itu selama dua hari dan begitu juga Jerman sebelum itu. - AFP

Rakan Bayar Denda: Matthias Chang dibebas dari penjara


Matthias Chang, bekas setiausaha politik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah dipenjarakan di Penjara Kajang selama 12 hari, dibebaskan hari ini.

Ini berikutan perintah ex-parte yang dikeluarkan bagi pembebasannya oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Sulaiman Daud sementara menunggu pendengaran rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengeluarkan perintah bagi pembebasan Matthias walaupun denda telah dibayar oleh rakan Chang.

Perintah interim juga diberikan bagi penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keengganan mengeluarkan perintah pembebasan itu.

Matthias dibebaskan kira-kira jam 6.30 petang di Penjara Kajang dan disambut oleh anggota keluarga dan peguam yang mewakilinya. Peguam yang mewakilinya memperoleh perintah pembebasan itu pada kira-kira jam 4.30 petang.

Chang yang kelihatan lemah semasa dihampiri pemberita berkata : "Saya Okay."

Semasa ditanya sama ada beliau, yang melancarkan mogok lapar sebelum ini, ada mengambil makanan akhir-akhir ini, beliau menjawab dengan suara antara kedengaran dengan tidak: "Bubur".

Chang, 60, seorang peguam, dikenakan hukuman penjara pada 1 April berikutan keengganan membayar denda RM20,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 25 Mac bagi kesalahan menghina mahkamah dalam kes fitnahnya terhadap American Express (Malaysia) Sdn Bhd.

Pada 7 April, Hakim Noor Azian Shaari enggan mengeluarkan perintah pembebasan kepada Salahuddin Hashim, rakan Chang, bagi pembebasan Chang walaupun denda itu telah dilunaskan oleh Salehuddin, atas alasan pihak ketiga tidak mempunyai locus standi untuk membayar denda itu.

Chang didapati bersalah menghina mahkamah selepas beliau gagal meminta maaf kepada mahkamah selepas bertikam lidah dengan hakim dan seorang peguam, semasa pemeriksaan balas oleh peguam dalam saman sivilnya.

Cubaan membayar denda itu dibuat tanpa pengetahuan Chang ekoran rakannya bimbang dengan keadaan kesihatannya akibat mogok lapar yang dilancarkannya. Beliau menamatkan bantahan selama sembilan hari itu selepas dirayu oleh Dr Mahathir.

Pihak berkuasa Penjara Kajang terpaksa memasukkan Chang ke Hospital Serdang selepas kesihatannya semakin lemah berikutan keengganannya mengambil makanan pejal.

Dalam afidavit beliau untuk menyokong permohonan ex-parte bagi pembebasan Chang, Salahuddin mendakwa beliau telah membayar denda itu bagi pihak Chang pada 5 April lepas dan telah menyerahkan resit asal pembayaran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi kepada pegawai Penjara Kajang dan meminta Chang dibebaskan dari penjara.

Katanya bagaimanapun beliau telah diarahkan oleh pegawai penjara untuk pergi ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah pembebasan bagi membolehkan Chang dibebaskan.

Salahuddin berkata keesokannya, beliau pergi ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah pembebasan itu tetapi dinasihatkan oleh staf mahkamah untuk membuat permohonan kepada mahkamah.

Pada 7 April, katanya permohonannya bagi pembebasan Chang ditolak atas alasan beliau tidak mempunyai locus standi untuk memohon bagi pembebasan Chang dan permohonan pembebasan perlu dikemukakan oleh Chang sendiri.

Katanya Hakim turut memerintahkan wang denda RM20,000 yang telah dibayarnya dipulangkan semula kepadanya. Bagaimanapun, katanya beliau memutuskan untuk tidak menuntut semula RM20,000 yang dibayarnya bagi pihak Chang tetapi akan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan kelak.

Salahuddin berkata terdapat merit bagi rayuan itu dan menurutnya Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan beliau tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan permohonan bagi pembebasan Chang.

Sementara itu, di Penjara Kajang, seorang daripada peguam yang mewakili Chang, Manjit Singh berkata Chang berada dalam keadaan baik dan akan pulang ke rumah.

Manjit Singh berkata Chang telah diberi layanan baik semasa ditahan di penjara.

Katanya Chang akan menjalani pemeriksaan perubatan di Pusat Perubatan Subang.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.