Tenyata Kerajaan Tak Berduit: Langkah Penjimatan kerajaan beri kesan kepada Peniaga Dan Pengusaha Hotel Di Langkawi




LANGKAWI: Pengusaha hotel, kedai bebas cukai dan pemandu teksi daerah ini mendakwa perniagaan mereka merosot teruk sejak kebelakangan ini dan tidak mustahil terpaksa gulung tikar dalam tempoh terdekat. Difahamkan, masalah itu berpunca daripada langkah penjimatan yang diamalkan jabatan kerajaan bagi mematuhi arahan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 2008 dan Surat Arahan Perbendaharaan berkaitan Pengurusan Kewangan Secara Berhemah.

Sehubungan itu, lebih 30 pengusaha hotel, peniaga bebas cukai dan pemandu teksi daerah ini menubuhkan jawatankuasa bertindak dipengerusikan Pengurus Besar Hotel Langkawi Seaview, Ooi Cheng Ping bagi mencari jalan penyelesaian.

Sehingga kelmarin, jawatankuasa itu sudah mengadakan mesyuarat pertama dan menjalankan kempen mengumpul tanda tangan semua pengusaha pelancongan untuk merayu Kementerian Kewangan mengkaji semula arahan berkenaan.

Ooi berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini perniagaan hotel di Langkawi merosot sehingga 50 peratus dan kadar penginapan pula menurun sebanyak 40 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Keadaan ini disebabkan sektor kerajaan tidak lagi dibenarkan mengadakan kursus, seminar atau apa-apa majlis rasmi di hotel sebagai langkah penjimatan, sekali gus menyebabkan pendapatan kami merosot teruk.
"Jika keadaan berterusan, tidak mustahil kebanyakan hotel bajet di pulau ini yang bergantung kepada pakej kursus agensi kerajaan akan gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi," katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri lebih 30 pengusaha pelancongan sebelum bersepakat merayu kepada Kementerian Kewangan melonggarkan syarat yang merugikan sektor pelancongan itu.

Ooi berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan industri pelancongan di Langkawi terus berkembang, selain mengelak lebih banyak masalah sosial apabila pekerja terpaksa diberhentikan kelak.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.