Showing posts with label utusan malaysia. Show all posts
Showing posts with label utusan malaysia. Show all posts

ZAMRI : 'Saya Sedia Terima'


IPOH 6 Feb. - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau akan menerima dengan reda apa saja keputusan mahkamah Selasa ini berhubung Menteri Besar Perak yang sah di sisi undang-undang.

Menurutnya, beliau tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana apa yang lebih penting sekarang menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar seperti yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

"Saya tidak mahu menjadi seperti pakatan pembangkang yang akan mencanang ke seluruh negeri tentang sesuatu isu.

"Saya akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan nanti sebagai takdir Allah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Setahun Melayari Arus Bersama Menteri Besar Rakyat terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Kes pertikaian membabitkan siapa Menteri Besar Perak yang sah akan diputuskan Mahkamah Persekutuan pada Selasa ini.

Keputusan itu amat ditunggu-tunggu kerana ia menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negeri ini atau kembali kepada pemerintahan pakatan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Panel lima hakim yang bersidang bagi membuat keputusan itu akan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff.

Empat lagi terdiri daripada Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd. Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Panel lima hakim yang bersidang sebelum ini menangguhkan keputusan kes itu pada 5 November lalu setelah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry mengambil alih jawatan Menteri Besar Perak daripada Mohammad Nizar selepas kerajaan pakatan pembangkang tumbang akibat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan BN.

50 termasuk pelajar ditahan bawah ISA


Jan 27, 10, Lima puluh orang, termasuk rakyat asing dan pelajar universiti tempatan, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Khamis lalu, kerana disyaki terbabit dalam keganasan, demikian menurut peguam Edmund Bon.

Menurut Edmund yang juga adalah peguam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), mereka yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman.

Menurutnya, 38 orang daripada mereka dibebaskan sehari selepas itu, manakala 12 lagi masih ditahan.

Edmund juga berkata, beliau telah bercakap dengan beberapa mereka yang telah dibebaskan dan sedang berusaha menemui mereka yang masih ditahan.

Pas Kedah sokong siapa saja


ALOR SETAR 20 Jan. - "Abdul Hadi ke, Anwar ke atau Lim Kit Siang ke, kita sokong semua..."

Itu reaksi Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) mengenai dakwaan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan jawatan ketua pembangkang yang kini disandangnya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, menjadi pegangan Pas negeri untuk menyokong pemimpin yang dipilih menerajui pakatan pembangkang tidak kira daripada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP.

"Kita sokong semua kepimpinan pakatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Langkah Anwar mahu menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Abdul Hadi dilihat sebagai cubaan mendapatkan semula sokongan ahli-ahli Pas selepas timbul dua isu utama iaitu pendirian beliau terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian selain perbicaraan kes liwatnya.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip semalam mendakwa, bagi membolehkan perkara itu berlaku, Anwar diramal mengarahkan beberapa Ahli Parlimen Melayu daripada PKR menyertai Pas.

Azizan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, sudah semestinya Abdul Hadi akan mendapat sokongan daripada pihaknya jika benar dakwaan berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai ura-ura peralihan jawatan Ketua Pembangkang tersebut.

Harga Rokok Mungkin RM50 (Boleh Caya Ka??)


KUALA LUMPUR 20 Jan. - Kementerian Kesihatan sedia mengkaji cadangan untuk menetapkan harga rokok pada kadar yang lebih tinggi sehingga RM50 bagi pek 20 batang rokok.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pada prinsipnya, harga yang mahal memang diharapkan dapat mengurangkan keupayaan orang ramai untuk membeli dan seterusnya merokok.Sebelum ini Kementerian Kesihatan telah berusaha melakukan pelbagai cara supaya perokok tegar dapat meninggalkan tabiat buruk itu selain mengajak kanak-kanak dan remaja supaya benci kepada tabiat itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekotak rokok yang mengandungi 20 batang dijual pada harga RM30 hingga RM50 supaya tidak mampu dibeli terutama golongan remaja.

Rosnah berkata, pihaknya juga bersedia mengkaji cadangan supaya kotak rokok dilitupi sepenuhnya dengan paparan amaran kesihatan manakala jenama rokok hanya dicetak pada saiz yang kecil pada sisi kotak.

Bagaimanapun, jelas Rosnah, sebelum itu kementerian terlebih dahulu terpaksa mengambil kira peraturan yang ditetapkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, sebab itu apa yang lebih penting ialah penyertaan masyarakat dalam usaha mengurangkan tabiat merokok kerana penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup untuk atasi tabiat ini.

''Peranan yang dimainkan oleh media seperti Utusan Malaysia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu merokok sangat kami hargai,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, adalah kurang tepat untuk menyimpulkan yang kementerian gagal dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.

Katanya, lebih-lebih lagi jika pandangan itu dibuat selepas hanya beberapa pemerhatian mudah dan bukannya melalui penyelidikan saintifik yang berwibawa.

''Hasil dua tinjauan besar yang dijalankan oleh pada tahun 1996 dan 2006, iaitu Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan 2 & 3, kadar merokok sebenarnya telah menurun sebanyak lebih dua peratus.

''Justeru kementerian juga tidak bercadang untuk menutup atau memansuhkan kesemua 270 Klinik Berhenti Merokok di seluruh negara yang dikatakan gagal mencapai matlamatnya.

''Malah dalam perancangan kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), klinik itu akan diintegrasikan ke dalam perkhidmatan lain yang disediakan oleh klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,'' katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.