Badrul Penyelamat: Kedah Dipaksa Negeri Sembilan Hingga Masa Tambahan


ALOR SETAR - Penyandang juara, Kedah terpaksa menunggu sehingga minit akhir masa tambahan pusingan kedua Piala FA 2018 apabila menang tipis ke atas Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengasak kubu tuan rumah menerusi Mony Udom Prak seawal minit ke-2  namun bola terus ke dakapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Kedah mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-15 namun hantaran silang Sandro Mendonca berjaya dikeluarkan oleh pertahanan pelawat.
Sandro sekali lagi menguji dari luar kotak penalti selang lima minit kemudian namun penjaga gol Negeri Sembilan, Muhd Ilham Amirullah Razali lebih bersedia.

Pada minit ke-38, percubaan Sandro menerusi sepakan percuma sekali lagi sedikit tersasar walaupun Muhd Ilham sudah pun dilihat tertewas.

Kedah yang mendapat sokongan hampir 20,000 penyokong terus buntu menjaringkan gol apabila skuad Rusa berdisiplin mematahkan setiap serangan yang cuba dilakukan oleh Lang Merah.




Separuh masa kedua bermula, Kedah cemas apabila Negeri Sembilan melakukan serangan balas pantas namun usaha yang dilakukan oleh Mony berjaya dihalang Ifwat Akmal.

Kedah kembali mengatur permainan dan mengasak kubu lawan dan peluang terbaik terhasil pada minit ke-60 namun percubaan Farhan Roslan sedikit melepasi palang selepas berlaku kekalutan di hadapan pintu gol Negeri Sembilan.

Tuan rumah terus buntu pada 30 minit terakhir perlawanan apabila pelawat terus kebal bertahan sehingga minit akhir perlawanan.

Perlawanan yang diheret ke masa tambahan menyaksikan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah terus mengekalkan corak bertahan.

Bagaimanapun gol kemenangan yang diburu oleh Lang Merah akhirnya muncul pada minit ke-120 menerusi Baddrol Bakhtiar yang menyudahkan hantaran lintang Syazwan Zainon untuk keputusan penuh 1-0.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.