Budaya Politik Matang Dan Sejahtera: TG Presiden PAS Hadir Di Majlis Pelancaran Program Tukun Tiruan Oleh Menteri

MARANG, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Anggota Parlimen Marang turut berterima kasih kepada Ahmad Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.
“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.
“Kerjasama hari ini (PAS dan UMNO) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang telah dileraikan di perairan Pulau Kapas, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kerjasama UMNO dan PAS itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak-pihak tertentu, Abdul Hadi berkata, ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.
“InsyaAllah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.
“Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ni warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik ‘hand brake’ dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya,” katanya. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.