KERUH!!! Konflik Perkahwinan Anak DS Anwar Ibrahim Gagal Temui Jalan Penyelesaian.. Jom Terjah!!!

Kes cerai Nurul Izzah belum temui jalan penyelesaian
Kes cerai Nurul Izzah belum menemui jalan penyelesaian

KUALA LUMPUR: Konflik perkahwinan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim masih gagal menemui jalan penyelesaian walaupun perbincangan melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) diadakan pada 26 Mei lepas.

Ini berikutan defendan, Raja Ahmad Shahrir Iskandar masih tetap dengan berpendirian untuk tidak menceraikan isterinya yang dinikahinya sejak 2003.

Terdahulu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah, Ab Malek Awang berkata mengikut laporan JKP, konflik antara Nurul Izzah selaku plaintif dan suaminya bermula sejak 2005, iaitu dua tahun selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua anak.

"Kemelut yang dihadapi pasangan itu masih berlarutan sehingga kini malah, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak 17 April lepas," katanya ketika membaca laporan yang disediakan Penolong Pengarah/Pegawai Runding Cara Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Hazman Hashim.

Katanya pasangan itu didakwa sudah tidak mempunyai persefahaman walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk mendamaikan pasangan suami isteri itu.

"Hasil perbincangan (JKP), plaintif nak teruskan perceraian kerana tiada persefahaman, tetapi defendan tetap tidak bersetuju (untuk bercerai). Justeru, JKP menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan tindakan lanjut kerana tiada ruang perdamaian yang dapat diwujudkan antara pihak-pihak," katanya.

Sementara itu, peguam Nor Mawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah memohon mahkamah mensabitkan wujudnya 'Shiqaq' atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan itu dan melantik 'Hakam' mengikut Seksyen 48 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

'Hakam' adalah sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan maka 'Hakam' tersebut akan melafazkan talak bagi suami.

Bagaimanapun, peguam syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Iskandar mencadangkan mahkamah menyerahkan laporan JKP kepada pihaknya untuk diteliti sama ada perbincangan yang dijalankan itu mengikut kehendak di bawah Seksyen 47(7),(8),(9),(10) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 atau sebaliknya.

Seksyen 47(7),(8),(9),(10) itu menyebut mahkamah boleh memberi arahan kepada JKP mengenai perjalanan perdamaian dan jika JKP tidak dapat bersetuju atau mahkamah tidak berpuas hati mengenai perjalanan perdamaian itu, mahkamah boleh memecat JKP itu dan melantik jawatankuasa lain bagi menggantikannya.

Dalam pada itu, JKP yang baharu hendaklah mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama mengikut sebagaimana yang dibenarkan oleh mahkamah dan meminta pihak-pihak itu hadir serta memberi peluang untuk mendengar perbincangan itu.

Ab Malek kemudian menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi meneliti laporan sama ada meneruskan kes mengikut Seksyen 47 atau Seksyen 48 seperti dipohon kedua-dua pihak.

Mahkamah turut memerintahkan Raja Ahmad Shahrir Iskandar hadir pada tarikh itu.

Dalam prosiding hari ini, Nurul Izzah hadir dengan ditemani seorang daripada adiknya bagaimanapun Raja Ahmad Shahrir Iskandar tidak hadir.

Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.

Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.