Krisis DUN Terengganu: Apakah Sejarah 'KRISIS' Perak Bakal Berulang di Terengganu? Jom Terjah!!!

PAS akan usul undi tidak percaya, kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan mengikut kaedah yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) ketika krisis politik di Perak lima tahun dahulu, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad berkata PAS akan menggunakan kaedah yang betul dengan cara usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita akan ikut kaedah yang betul, kena ada undi tidak percaya pada menteri besar Terengganu dalam sidang DUN.

"Cara yang BN guna masa di Perak dulu salah, kita tak akan buat benda yang tak ikut peraturan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Politik Terengganu mula bergolak pada Isnin selepas bekas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan ADUN Ajil, Ghazali Taib mengumumkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Sementara itu, menurut laporan portal berita The Malaysian Insider, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yahaya Ali berpendapat, cara terbaik untuk menilai sama ada parti itu akan mendapat sokongan majoriti adalah melalui undi tidak percaya atau pilihan raya.

“Cara terbaik adalah menilianya melalui satu undi tidak percaya atau pilihan raya semula dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu,” kata Yahaya.

Menurut beliau, jalan paling mudah adalah mengadakan kerjasama dengan bekas Adun UMNO yang telah meletak jawatan dan menjadi Adun Bebas untuk membentuk kerajaan bersama seperti yang berlaku di Perak.

"Jika BN tidak cukup sokongan maka bolehlah kerajaan negeri bertukar tangan. Atau kita buat melalui pilihan raya semula," kata Yahaya.

Namun, katanya , beliau sendiri masih belum yakin dengan "angkanya" untuk membolehkan PAS mendapat sokongan majoriti dalam DUN Terengganu.

Dalam pada itu, ADUN Batu Buruk daripada PAS, Dr Syed Azman berkata, rakyat Terengganu perlu diberi mandat semula untuk menentukan siapa yang patut mentadbir kerajaan negeri itu.

Beliau yang juga merupakan AJK PAS Pusat itu berkata, ADUN Bukit Besi, Roslee Daud menyertai bekas Menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan Putrajaya memaksa Ahmad meletakkan jawatan.

Tindakan Roslee itu akan menjadikan Pakatan Rakyat memegang kerusi paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu iaitu 15 (14 PAS, 1 PKR) manakala BN pula, 14 dan Bebas 3.

Menurut Syed Azman, beliau yakin Roslee akan kelaur daripada UMNO dan seterusnya menjadi ADUN bebas.

“Langkah terbaik bukannya menukar kerajaan begitu sahaja seperti di Perak kerana tindakan sedemikian akan menyebabkan ketidakstabilan di Terengganu dan adalah terlebih baik memberikan mandat semula kepada rakyat Terengganu,” tambah Syed Azman.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali walau bagaimanapun enggan mengulas situasi politik di Terengganu.

"Saya tidak akan buat sebarang kenyataan setakat ini. Saya mengikuti perkembangan di Terengganu," katanya kepada Astro AWANI.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.