BALING: Kerajaan Kedah mengumumkan 17 Jan ini sebagai cuti peristiwa sempena sambutan perayaan Thaipusam.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.
Katanya kerajaan negeri telah berusaha menjadikan sambutan perayaan Thaipusam sebagai hari cuti di negeri ini, dan ia menjadi kenyataan apabila diperkenan menjadi cuti peristiwa untuk tahun ini.
"Inilah yang kita usahakan, akhirnya berjaya jugak. Apa yang dihasratkan menjadi kenyataan. Bagaimanapun jika cuti peristiwa itu jatuh pada hujung minggu (Jumaat dan Sabtu), ia tidak akan diganti.
"Memandangkan 17 Januari jatuh pada hari Jumaat. Ia tidak akan diganti. Bagaimanapun cuti peristiwa ini akan membolehkan syarikat swasta termasuk bank yang beroperasi pada hari itu untuk cuti," katanya pada sidang media di kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil dekat sini, Ahad.
Katanya kerajaan negeri akan memohon supaya perayaan Thaipusam menjadi hari cuti di Kedah.
"Tahun depan dan seterusnya kita akan mohon untuk perayaan ini jadi hari cuti. Untuk tahun ini kita hanya dapat perkenan cuti peristiwa," katanya.
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment