Hangat!! PDRM Hilang 156 Gari, 44 Unit Senjata Api Dan dan 29 Buah Kenderaan - Laporan Audit Negara 2012, Jom Terjah!!!

Laporan Audit Negara: PDRM hilang gari, pistol dan kenderaan RM1.33 juta

Laporan Audit Negara 2012 mendedahkan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) kehilangan aset berjumlah RM1.33 juta melibatkan antaranya gari, senjata api dan kenderaan antara tahun 2010 hingga 2012.

Dalam tempoh itu, PDRM kehilangan 156 unit gari, 44 unit senjata api dan 29 unit kenderaan.

Laporan audit itu juga mendapati kelemahan dalam pengurusan kehilangan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga ibu pejabat polis kontinjen yang disemak di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Antara kelemahan itu ialah kelewatan mengesan kehilangan dan seterusnya membuat laporan dan menjalankan siasatan serta kelewatan mengambil tindakan susulan berhubung laporan kes kehilangan.

Ketua jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab perlu membuat laporan polis berhubung kehilangan sesuatu aset dalam masa 24 jam. Bagaimanapun, semakan audit Jabatan Audit Negara mendapati 19 kes dilaporkan antara 2 hingga 241 hari daripada tarikh kehilangan.

Semakan audit itu turut mendapati pegawai yang bertanggungjawab telah lewat menyediakan laporan awal dan dalam sesetengah kes sehingga lebih tiga tahun.

Laporan audit itu juga memberikan dua contoh kes kehilangan senjata api dan peluru pada 23 Mac 1980 dan 12 Disember 2002 di IPK Johor yang laporan awal oleh ketua jabatannya hanya disediakan pada 9 Oktober 2010.

Sementara itu, laporan audit itu juga mendapati tidak ada tempat penyimpanan selamat bagi aset dan ruang penyimpanan terhad atau sempit.

Susulan audit berkenaan, PDRM dalam maklum balasnya kepada Ketua Audit Negara memaklumkan ia akan mewujudkan satu sistem pemantauan yang lebih cekap dan berkesan.

Ia juga akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengenal pasti kelemahan dan memberi cadangan penambahbaikan proses menyiasat kehilangan aset termasuk tindakan disiplin terhadap mereka yang cuai.

Menurut laporan itu juga, pihak pengurusan PDRM dalam satu mesyuarat pada 16 Mei 2013 telah memutuskan satu prosedur operasi piawai (SOP) disiapkan bagi menggariskan panduan menguruskan kehilangan aset. SOP itu dijangka siap pada akhir tahun ini.

PDRM juga memaklumkan kelewatan proses hapus kira kehilangan aset itu juga berlaku kerana kurang pengetahuan dan kesedaran di kalangan pegawai dan anggota pasukan itu mengenai tindakan yang perlu diambil apabila berlaku kehilangan aset alih kerajaan.

Untuk itu, ia telah mengambil tindakan menambah pengetahuan dan kesedaran pasukan mengenai tindakan yang perlu dilakukan serta menggariskan sistem kerja yang betul bagi mengelak kejadian berulang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.