BERAPI!! “Ini Sangat Memalukan Dan Menyedihkan,” :Bila Mana Filem "Tanda Putera" GAGAL Capai Sasaran - Salah Siapa? Jom Terjah!!!

Filem Tanda Putera terima sambutan dingin di pawagam
Filem kontroversi Tanda Putera gagal mencapai sasaran pecah panggung pada minggu pertama tayangannya menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Filem memaparkan babak yang boleh dipersoalkan berhubung rusuhan kaum 13 Mei itu mula ditayangkan Khamis lalu, tetapi hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan hingga Isnin.

“Ini sangat memalukan dan menyedihkan,” kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof dan memberitahu kos produksi filem itu berjumlah RM4.8 juta.
Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.

Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

“Tanda Putera sebuah filem yang bagus namun selera penonton berbeza-beza. Disebabkan kurang sambutan yang diterima, filem berkenaan harus ditayangkan di panggung yang lebih kecil.

“Kontroversi yang melanda filem itu bukan penyebab ia kurang sambutan, tetapi genre filem berkenaan yang tidak menepati selera penonton masa kini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerugian yang dialami kerajaan berhubung tiada sambutan terhadap tayangan filem berkenaan, Mustapha berkata, filem sejarah tidak perlu dikira untung ruginya kerana setiap negara perlu ada identiti tersendiri.

Beliau berkata, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengarahkan filem berkenaan dengan amat baik sekali tetapi mungkin Shuhaimi sendiri tidak mengalami peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, maka elemen fiksyen lebih ditekankan dalam filem itu.

Katanya, dalam Skim Wajib Tayang, filem tempatan hanya diberi keistimewaan untuk mendapat hak tayangan di panggung perdana untuk empat hari sahaja.

“Prestasi filem itu akan dinilai pada hari keempat iaitu pada hari Ahad selepas mengambil kira pandangan penerbit, pawagam dan pengedar filem terbabit.

“Pawagam juga pastinya tidak mahu menanggung kerugian dengan menawarkan panggung yang lebih besar tetapi tiada penonton. Selepas dua minggu juga, pihak pawagam boleh menarik keluar sesuatu filem, jika sambutan kurang memberangsangkan.

“Kami sedaya-upaya memastikan filem tempatan dihargai kerana kerenah pengusaha pawagam tempatan hanya mahu menayangkan filem luar negara.

“Antara sebab pawagam menolak filem tempatan ialah kerana mutu filemnya yang rendah. Justeru, menjadi tanggungjawab FINAS membantu pengeluar filem tempatan mendapatkan tarikh yang sesuai untuk ditayangkan serta disiarkan empat kali sehari,” katanya.

Walaupun filem itu disambut dingin oleh orang ramai, sesetengah pemimpin kerajaan mengatakan filem itu adalah filem yang baik dan harus dikaji oleh universiti tempatan.

Dalam kenyataannya semalam, Shuhaimi mengatakan sambutan dingin terhadap filemnya kerana ia mula ditayangkan pada pertengahan minggu pada hari bekerja.

“Ini perkara biasa, walaupun untuk filem blockbuster Hollywood. Apa motif di sebalik laporan media negatif terhadap Tanda Putera,” katanya.

Shuhaimi berkata, di sebalik hentaman dan sindiran, termasuk daripada pemimpin politik yang didakwanya cuba memperlekeh dan menimbulkan kebencian kepada filem itu, beliau bersyukur kutipan masih baik.

"Kepada pembenci filem ini yang melabelkannya filem Umno, mana mungkin pawagam tidak dipenuhi ahli Umno seramai 3 juta orang itu pada 4 hari pertama filem ini ditayangkan.

"Sudah tentu pecah panggung dan mencatat pungutan box office berjuta-juta ringgit!" katanya.

Filem sejarah Shuhaimi sebelum ini “1957: Hati Malaya” juga menempa kegagalan selepas kutipan jualan tiket filem berkenaan hanya mencatatkan RM760,000 berbanding kos penerbitannya mencecah RM3.6 juta.

Filem terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd itu meskipun ditayangkan di 38 pawagam di seluruh negara, tetapi hanya mampu bertahan kira-kira tiga minggu saja.

“1957: Hati Malaya” memberi tumpuan kepada perjuangan Datuk Onn Jaafar, Pengasas Umno yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme Melayu menentang Malayan Union pada 1946.

DAP dan MCA mengkritik filem berkenaan, menyuarakan kebimbangan berhubung babak dan dialog dalam filem itu yang boleh mencetus ketegangan kaum.


Penasihat DAP Lim Kit Siang kesal dengan filem Tanda Putera yang masih menayangkan babak beberapa pemuda Cina kencing di tiang bendera laman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.