Audit: 23 syarikat untung RM255b, hanya 10 bayar dividen

Parlimen
Laporan maklumbalas
 
SHAH ALAM - Laporan Audit Negara 2011 merumuskan sebanyak 23 syarikat kerajaan mencatatkan keuntungan RM255.8 bilion sepanjang tiga tahun antara 2008 dan 2010 manakala sembilan lagi mengalami kerugian terkumpul RM2.5 bilion.

Dalam laporan itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang juga berkata, daripada 23 syarikat yang memperolehi keuntungan RM255.8 bilion, hanya 10 syarikat membayar dividen kepada kerajaan bagi tiga tahun berturut-turut iaitu sebanyak RM109.364 bilion manakala empat syarikat yang lain hanya membayar dividen bagi tahun-tahun tertentu.

"Sebanyak 20 daripada 25 syarikat telah membayar cukai bagi tiga tahun berturut-turut berjumlah RM81.382 bilion kepada kerajaan," katanya dalam laporan yang diedarkan di Parlimen.

Seksyen 6(d) Akta Audit 1957 mengehendaki Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan untuk menilai sama ada aktiviti kerajaan diuruskan dengan cekap, berhemat dan selaras dengan objektif aktiviti berkenaan.

Pengauditan tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti pembinaan, infrastruktur, penyenggaraan, pengurusan aset, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan hasil, pelajaran, kesihatan, pertanian, modal insan dan program peningkatan sosioekonomi.

Katanya, laporan ini mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 58 aktiviti atau projek di bawah 28 kementerian atau Jabatan Persekutuan dan pengurusan tujuh syarikat kerajaan.

"Pada umumnya, terdapat kelemahan seperti 'improper payment', kerja atau bekalan tidak mengikut spesifikasi atau tidak berkualiti atau tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, pengurusan hasil dan pengurusan aset kerajaan," kata Ambrin dalam laporan kali ini.

Katanya, kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan atau prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan; kurang teliti semasa merancang program atau projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender; tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja-kerja kontraktor atau vendor ataupun perunding; kurang kemahiran dalam pengurusan projek; lewat membuat keputusan mengenai perolehan; sistem maklumat jabatan atau agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini; kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program atau projek; kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset; dan kekurangan pegawai untuk mengutip hasil.

Ambrin berkata, bagi membantu kementerian atau jabatan atau syarikat kerajaan memperbetulkan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009 dan
2010, sebanyak 547 syor telah dikemukakan untuk tujuan tersebut.


Katanya, pemeriksaan susulan yang dijalankan setakat 30 April lalu mendapati 241 (96.4 peratus) daripada 250 syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009 telah diambil tindakan dengan sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.

"Manakala bagi tahun 2010, sebanyak 220 (74.1 peratus) daripada 297 syor yang dikemukakan telah diambil tindakan.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2011 ini pula, katanya, sebanyak 356 syor telah dikemukakan kepada Kementerian atau jabatan atau syarikat kerajaan berkenaan untuk tindakan pembetulan atau bagi mengelakkan kelemahan yang sama daripada berulang. Jabatan ini akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak yang berkenaan terhadap syor tersebut dan akan melaporkan kedudukan terkininya dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.