Kerajaan Negeri Kedah Tunggu Keputusan Mahkamah Isu Tanah Wakaf


ALOR SETAR – Kerja pembangunan akan dilaksanakan jika keputusan mahkamah memihak kepada Kerajaan Negeri, namun jika sebaliknya, ia akan mengemukakan rayuan mengikut prosedur perundangan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, Mahkamah Tinggi Alor Setar dijangka membuat keputusan itu pada 25 April ini.

“Kita tunggu keputusan mahkamah, kalau mahkamah kata boleh, kita teruskan (merobohkan bangunan madrasah), duit pun sudah ambil (daripada pemaju),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Dewan Negeri Bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Kedua Belas di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, kawasan tanah wakaf di Jalan Tambang Badak yang menempatkan bangunan Madrasah Salihiah, tidak akan diusik oleh Kerajaan Negeri jika mahkamah memutuskannya tidak boleh dirobohkan.

“Kalau mahkamah kata tidak boleh buat, nak buat macam mana, kena buat rayuan dan kita akan ikut proses biasa. Mereka (ahli jawatankuasa madrasah) juga boleh rayu (jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka),” ujarnya.

Terdahulu, ahli jawatankuasa Madrasah Salihiah, Jamluddin Murad (plaintif), memfailkan injuksi di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi menghalang madrasah berkenaan dirobohkan.

Bagaimanapun, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kedah melalui Peguam Persekutuan Negeri Kedah, Rafiah Yusof (mewakili defendan kedua dan ketiga iaitu Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar dan Kerajaan Negeri), memfailkan saman dan afidavit sokongan bagi membatalkan writ saman dan penyertaan tuntutan yang difailkan plaintif.

-Kedah Lanie

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.