Anugerah Sastera Negara yang ke-11 Menjadi Milik Kemala. Anugerah Disampaikan Oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah malam tadi berkenan menyampaikan Anugerah Sastera Negara yang ke-11 kepada penyair Datuk Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Kemala.

Kemala, 71, dipilih sebagai Sasterawan Negara kerana telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran dan Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-11 dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Awang Sariyan turut hadir.

Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, Sasterawan Negara kePada majlis malam ini, Kemala menerima Warkah Penghormatan Negara berupa wang tunai berjumlah RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Muhyiddin pada 3 Mei tahun lalu semasa mengumumkan pemilihan Kemala sebagai penerima anugerah tersebut berkata Kemala telah menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.

"Karya-karya tokoh ini bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.

Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara," katanya.

Karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

Kemala yang dilahirkan di Gombak, Selangor juga pernah menerima Anugerah SEA Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada niversiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.