edar risalah
GURUN - “Kalau tidak puas hati boleh saman Kerajaan Negeri,” demikian kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar ketika menegaskan mengenai kesahihan risalah Beza Antara 2 Kerajaan Negeri yang mula diedarkan sejak awal bulan ini.

Mohd Firdaus berkata, dia yakin dengan isi kandungan risalah berkenaan yang menyenaraikan 41 hasil kerja yang dilaksanakan Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat (PR) dan perbezaan setiap satu hasil kerja itu semasa pemerintahan kerajaan terdahulu di Kedah.

Menurutnya, ini kerana senarai hasil kerja yang dilaksanakan Kerajaan Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu dan perbezaannya dengan kerajaan terdahulu itu diterbitkan Urus setia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah.

“Ia diterbitkan oleh Urus setia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, bukan Pas, bukan PKR, bukan DAP dan bukan orang kampung.

“Ini (Urus setia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah) merupakan satu badan yang berwajib,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Firdaus berkata, dia berharap rakyat Kedah mendapatkan risalah tersebut untuk menilai sendiri isu yang sering ditimbulkan mengenai Kerajaan Kedah.

Katanya, antara yang disenaraikan dalam perbezaan itu ialah kejayaan Kerajaan Kedah melunaskan hutang lama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tinggalan kerajaan terdahulu sebanyak RM5 juta.

“Rakyat perlu mendapatkan risalah ini untuk menilai sendiri kejayaan-kejayaan Kerajaan Kedah selama empat tahun pemerintahannya.

“Rakyat boleh berkunjung ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) seluruh Kedah atau berjumpa Pemuda Pas untuk mendapat risalah ini.

“Kami di Jerai juga akan mengedarkan risalah ini di pasar malam sekitar Parlimen ini kepada orang ramai,” katanya.