Kemaluan Pembangkang Di Kedah Makin Membengkak... Sukar Untuk Ubati Bila Makin Bernanah!!!

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Dalam ceramah di Rapat Rakyat Perdana di Alor Setar, Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan tindakan melayan isu perobohan Madrasah Salihiah (lebih dikenali sebagai pejabat syarikat insuran), Kancut yang dimainkan oleh pembangkang di negeri ini sama seperti tindakan menyergah berok.

“Berok kalau kita buat tak peduli dekat dia, dia pun senyap macam tu saja tapi kalau kita dok layan dia, sergah dia, habis daun pokok cermai dihinggutnya,” ujar beliau yang berjaya menggamatkan perkarangan Stadium Sultan Abdul Halim dengan gelak ketawa.

Terkini di Kedah, kerajaan negeri dihadapkan dengan dua isu utama. Subjek isu tersebut tidaklah terlalu besar tetapi kerana Kedah adalah negeri yang kontang isu maka persoalan kecil pun dianggap besar.

Isu pertama ialah isu penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kerana melakukan kesalahan tatatertib yang menyalahi peraturan IPT itu. Ia menjadi isu nasional kini selepas Adam Adli digantung oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana ‘kesalahan’ menurun dan menaikkan gambar Perdana Menteri; dihukum menurut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Isu Adam Adli dan lima pelajar KUIN yang digantung adalah berbeza. Kes berbeza dan akta yang digunakan pun berbeza, kerana AUKU tiada di KUIN yang ditubuhkan mengikut Akta IPTS 1996. Saya tidak berhasrat untuk memperincikan jalan cerita kisah lima budak KUIN itu, kerana penjelasan yang sedalam mana pun tidak membawa apa-apa erti bagi pihak yang tiada niat niat barang sepicingpun untuk mencari jalan penyelesaian sebaliknya hanya mahu menjadi hero filem Tamil.

Di awal kes, Dewan Pemuda PAS dan Setiausaha Politik Menteri Besar berusaha menangani isu mereka dengan penuh hikmah. Mereka cuma diminta membuat rayuan dengan lunak serta berhadapan dengan pihak pentadbir KUIN dengan professional. Selebihnya serahkan kepada budi bicara politik kerana kes terbabit hanya melibatkan peraturan IPTS bukannya hukuman di mahkamah. Namun akibat termakan hasutan sebuah NGO, nasihat yang diberi tidak diendahkan. Surat rayuan bertukar watak kepada sebuah memorandum bantahan.

Sekarang AUKU dan Buku Jingga pula mahu dikaitkan dengan isu lima budak KUIN. Pihak yang tidak tahu hujung pangkal akan menyinga apabila AUKU dikaitkan. Kerajaan negeri digambarkan sebagai tidak menghormati suara mahasiswa. Sekarang isu sudah menjadi kes mahkamah; biarlah Hanipa Maidin dan Karpal Singh yang berhujah di mahkamah.

Jika Menteri Besar membuat perbandingan, melayan isu Madrasah Salihiah macam tindakan sergah berok maka saya lebih bersetuju ia digunakan untuk isu lima budak KUIN ini. Usahlah dilayan kerenah Solidariti Mahasiswa Malaysia dan para simpatisan mereka yang menyokong secara membuta tuli lima budak KUIN itu. Akhirnya nanti mereka akan keletihan menyerang MB.

Namun saya agak kurang bersetuju jika isu Madrasah Salihiah tidak hendak dilayan kerana inilah anugerah isu terbesar yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah sepanjang empat tahun mentadbir negeri. Menjawab isu Salihiah bukan bermakna menarik balik sokongan yang hilang (kerana tiada sokongan yang hilang dari isu tersebut) sebaliknya menyerlahkan kejayaan negeri sambil mendedahkan kedunguan pihak pembangkang (BN) di Kedah.

Isu Madrasah Salihiah mendedahkan kegagalan BN menyelesaikan projek Kompleks Tunku Yaakob yang terbengkalai selama 33 tahun tanpa dapat dibuat apa-apa penyelesaian oleh lima orang Menteri Besar BN iaitu Syed Nahar Shahabudin, Osman Aroff, Sanusi Junid, Syed Razak Syed Zain dan Mahdzir Khalid. Sebaliknya seorang ustaz lulusan Universiti Al-Azhar bertama barisan Exco yang tidak sibuk mencanang isu pembangunan duniawi dalam kempen mereka mampu menyelesaikannya dalam tempoh yang singkat.

Pembangunan bukan setakat di atas tanah seluas 4 ekar (tapak asal Kompleks Tunku Yaakob) tetapi dilebarkan lagi dengan pembinaan super mega mall, hotel dan kondominium. Projek Aman Central bernilai RM500 juta akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan, menjana ekonomi negeri dan memberi peluang kepada para peniaga bumiputera sekurang-kurang kepada yang akan berniaga di satu aras super mega mall itu dengan jenis perniagaan berkonsepkan Pekan Rabu.

Perkara besar yang boleh diberitahu ialah kewujudan sebuah surau gergasi di super mega mall, siap dengan kubah dan menara, boleh dilaungkan azan dan boleh dimasuki dari luar pusat membeli belah pada bila-bila masa. Inilah kali pertama dalam sejarah 1Malaysia sebuah super mega mall mempunyai surau segagah ini.

Isu Madrasah Salihiah tidak boleh didiamkan kerana pihak pembangkang telah membesarkan isu tersebut melalui proses mahkamah. Mereka membuat injunksi untuk menghalang tanaf wakaf itu dipindah lalu ‘berani’ berhadapan dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Fatwa dan Kerajaan Negeri; instusi yang established serta berada di bawah naungan Tuanku Sultan. Rakyat perlu diberitahu hal ini.

Isu terbaru yang dimainkan oleh mereka ialah kononnya MAIK telah menjual tanah wakaf tersebut kepada pemaju sebelum Majlis Fatwa mengeluarkan surat rasmi keputusan fatwa. Walhal sehingga kini belum berlaku jual beli atau pindak milik kepada pihak pemaju kerana apa yang berlaku ialah proses pengambilalihan tanah mengikut akta tertentu.

Dengan mengikut prosedur, kerajaan mewartakan pengambilan tanah pada 9 Jun 2011. Warta kemudian disiapkan pada 16 Jun 2011 dan dipamerkan pada papan kenyataan pejabat tanah dan galian dan pejabat daerah pada 3 Julai 2011.

Perbicaraan yang melibatkan pengambilalihan tanah wakaf Salihiah berlaku pada 17 Ogos 2011 dengan pihak MAIK bersetuju menerima pampasan dengan jumlah tertentu. Ia berlaku selepas Mufti mengeluarkan surat rasmi keputusan Majlis Fatwa pada 3 Ogos 2011. Di mana dakwaan kononnya berlaku ‘penjualan’ tanah wakaf sebelum Majlis Fatwa membuat keputusan?

Semua fakta ini kalau didedahkan akan membesarkan kemaluan pihak pembangkang.

1 comments:

  1. Kenapalah perlu dihina dan dikeji beruk tu?Beruk tu tak bersalah.Sayangku memang pandai mempergunakan beruk untuk melakukan kerja kotor bagi pihaknya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.