Tragedi Berbuka Puasa - Warga Emas Maut Ditetak Saudara Sendiri... Apa Puncanya??

ALOR SETAR: Seorang lelaki berumur 60 tahun mati ditetak dengan parang oleh anggota keluarga terdekatnya manakala isteri cedera dalam satu kejadian sejurus sebelum berbuka puasa di rumah mereka di Kampung Pasir Putih di Kuala Nerang dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar 7 malam tadi, Seman Siron, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan di kepala, putus pergelangan kaki kanan selain cedera di kedua-dua belah tangannya manakala isterinya, Hasmah Abdul Majid, 58, cedera di belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Ku Yaacob Ku Hamad berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun memarahi anak-anak saudaranya yang membuat bising ketika mereka sedang menunggu untuk berbuka puasa.

"Apabila Seman menegurnya supaya tidak memarahi cucu-cucunya, suspek naik angin lalu mengambil parang dan menetak Seman di bahagian tengah kepala dan kakinya. Kedua-dua belah tangan mangsa turut cedera kerana dipercayai cuba menahan tetakan.

"Suspek turut menetak Hasmah di belakang kepala. Ketika kejadian ada lapan orang di dapur rumah itu termasuk tiga kanak-kanak berusia enam, lapan dan 11 tahun manakala dua lagi adalah anak pasangan itu," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Ku Yaacob berkata Seman dan Hamsmah dibawa oleh anak mereka ke Hospital Kuala Nerang tetapi Seman meninggal dunia pada 7.30 malam dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.

Hasmah masih dirawat di Hospital Kuala Nerang dan terpaksa menerima lima jahitan.

Keadaannya dilaporkan stabil.

Ku Yaacob berkata suspek, yang melakukan kerja kampung dan masih bujang, telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran rumah dengan membawa parang yang digunakan dalam serangan itu.

"Polis menjumpai kaki kanan yang putus itu di kawasan luar rumah berkenaan. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dengan bantuan orang kampung," katanya.

Ku Yaacob berkata suspek tidak mempunyai rekod sakit jiwa di hospital tetapi difahamkan dia pernah mendapat rawatan tradisional berkaitan masalah mental.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.