Konvokesyen KIDU Kali ke-10 Meriah - Ramai Graduan Berwibawa Di Bidang Agama Asas Didikan KIDU


http://wartakedah.net/images/stories/OGOS2011/kidu.jpgPOKOK SENA - Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) kini menawarkan pengajian Islam kepada penuntut-penuntut baru untuk mendalami ilmu agama iaitu pengajian Syariah, Bahasa Arab dan Usuluddin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul, penubuhan KIDU adalah bertujuan melahirkan graduan-graduan yang berwibawa dalam bidang agama.

“KIDU merupakan sebuah pusat pengajian tinggi agama seperti mana Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan ramai penuntut di sini berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Konvokesyen KIDU Kali ke-10 di KIDU, di sini.

Taulan memberitahu, penuntut-penuntut KIDU yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir perlulah mengikuti pengajian di sana dari semestar pertama hingga semester keempat.

“Saya berharap agar penuntut-penuntut KIDU yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir menggunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu agama dengan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, banyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditubuhkan di negara ini dalam usaha meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan penuntut-penuntutnya.

“Penubuhan KIDU secara tidak langsung mampu menarik ramai penuntut untuk melanjutkan pengajian di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KIDU, Ustaz Haji Zawawi Haji Ahmad dalam ucapannya berkata, Pesta Konvokesyen ini diadakan bersempena 10 tahun Majlis Konvokesyen KIDU yang telah diadakan bermula tahun 2002.

Zawawi berkata, ramai tokoh dan individu yang terlibat sepanjang sejarah penubuhan KIDU dan Muassasah Darul Ulum.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, YB. Dato’ Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, YB. Ustaz Ahmad Izzat Mohamad Shauki.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.