DS Anwar: Buat Apa JK Khas Parlimen Jika Untuk Diperlekeh


PERMATANG PAUH, 21 Ogos: Datuk Seri Najib Tun Razak, disarankan supaya segera mengadakan pilihan raya sekiranya ingin melihat betapa bersihnya sistem pilihan raya yang dilaksanakan dalam negara ini semasa era pemerintahan BN.

Demikian dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), ketika berucap dalam majlis ceramah di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, malam tadi.

Menurut beliau lagi, Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen, sepertimana yang diwar-warkan oleh Najib tiada manfaatnya sekiranya masih berkeras mahu mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, tanpa mendapat pandangan dari jawatankuasa yang ditubuhkan itu.

"Buat apa tubuh jawatankuasa, jika hanya untuk diperlekehkan begitu sahaja. Bukan saja maruah ahli jawatankuasa dipermainkan, tetapi Parlimen sendiri dipersendakan oleh Perdana Menteri.

"Masalah senarai pemilih pun belum selesai. Banyak kekeliruan yang timbul. Pelbagai kepincangan telah pun didedahkan, tapi setakat mana ianya telah berjaya diatasi untuk menuju kearah pilihan raya yang bersih," tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut mendedahkan betapa lemahnya SPR apabila sebuah rumah di Kampung Bagan Serai, Permatang Pauh mempunyai seramai 88 pengundi.

Katanya lagi, dari siasatan yang dibuat rumah tersebut hanya mempunyai empat orang penghuni.

Masalah itu juga, katanya bukan satu perkara baru yang muncul menjelang pilihan raya.
"Oleh kerana itu, SPR mesti telus dan turun padang untuk mengatasi masalah ini, tanpa berkiblatkan kepada Umno dan BN sebagai rujukan yang akan mencalarkan imej SPR sendiri.

"Apakah dengan kelemahan yang ada pada SPR ini kita begitu optimis dan yakin, bahawa pilihan raya dalam negara akan menjadi bersih menjelang PRU ke-13 yang akan datang?" soalnya.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Saleh Man.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.