Insiden Di Kampung Hilir Tandop, Kubang Rotan Keenganan Polis Mengambil Tindakan Dipertikai... Ini Ceritanya..

ALOR SETAR: Seorang kerani kewangan mempertikai polis kerana enggan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang didakwa sengaja melanggar abang ipar dan keretanya dalam satu insiden di Kampung Hilir Tandop, Kubang Rotan di sini pada 12 Julai lepas.

Zuraida Abdul, 30, dari Kampung Chapa, Alor Mengkudu di sini juga tidak berpuas hati terhadap polis yang mengklasifikasikan insiden kira-kira 11.30 malam itu sebagai kes trafik walaupun terdapat unsur cubaan membunuh.

Beliau mendakwa seorang lelaki memandu sebuah kereta dan dengan sengaja melanggar abang iparnya, Farwis Shabuddin, 36, menyebabkan peha kirinya cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama lima hari.

"Sebelum kejadian, kami yang berada di rumah kakak saya terdengar bunyi deruman kereta menyebabkan Farwis keluar untuk mengalih kereta tetapi beliau terus dilanggar lelaki itu dan mengenai peha kirinya.

"Setelah dilanggar Farwis berlindung di belakang kereta namun lelaki itu merempuh kereta saya pula berkali-kali," kata Zuraida kepada pemberita semasa ditemui di rumah keluarganya di Kampung Chapa, pada Isnin.

Menurutnya beliau terus menghubungi polis dan sebuah kereta peronda tiba selepas dua jam berjaya memberkas lelaki tersebut yang mendakwa dia mabuk dan dibelasah orang kampung.

"Yang hairannya polis tidak menahan lelaki itu atau membuat ujian alkohol sebaliknya menghantar beliau ke bahagian kecemasan HSB dan dilepaskan begitu saja," dakwa Zuraida.

Katanya beliau kemudiannya membuat laporan polis kira-kira 2 pagi, 13 Julai di bahagian jenayah tetapi diminta membuat aduan di bahagian trafik kerana mereka mengklasifikasikannya sebagai kes trafik. "Saya tidak berpuas hati dan sekali lagi membuat aduan di bahagian jenayah pada siang hari 13 Julai manakala Farwis membuat aduan pada 17 Julai sebaik keluar HSB namun sehingga hari ini lelaki itu bebas tanpa sebarang tindakan.

"Saya juga tidak berpuas hati kerana polis yang berjanji datang mengambil kereta di rumah untuk ujian kimia tidak menunaikan janji lalu saya sendiri membawa kereta itu ke Balai Polis Alor Setar pada 15 Julai lepas," kata Zuraida.

Ketua Trafik Polis Alor Setar, DSP Mohd Sham Abdullah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataannya berhubung isu ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kerabat DiRaja Kedah (PKDK) Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya yang menziarah mangsa hari ini, berharap pihak berkenaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Orang ramai akan mempersoalkan pihak polis selagi mereka tidak berpuas hati atau mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat bukti ada unsur-unsur jenayah," katanya.

-BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.