PLKN Akan Dedahkan LDK Mari Mengundi Dan Tambahan Tempoh Latihan Kepada 6 Bulan.. Apa Sebenarnya Hasrat Kerajaan BN Najib?


KUALA LUMPUR 26 Mei - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan didedahkan tentang kepentingan diri mereka dalam proses pembentukan kerajaan menerusi pengenalan Latihan Dinamika Kumpulan (LDK) Mari Mengundi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi mengajak peserta PLKN supaya menjadi seorang pemilih pada ketika mereka layak untuk mereka berbuat demikian.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memberi pengisian kepada modul berkenaan yang akan memberi kesedaran kepada peserta tentang pentingnya amalan sistem demokrasi di Malaysia.

"Mereka merupakan pelajar yang akan menjadi warganegara yang rasional dan akan dapat membandingkan siapa yang lebih baik untuk mentadbir negara ini.

"Justeru itu, modul ini adalah bertujuan menggalakkan mereka supaya mengundi dan untuk mengundi parti mana, itu terserah kepada mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Hadir sama Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, cadangan untuk melanjutkan tempoh latihan PLKN daripada tiga kepada enam bulan memerlukan keputusan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN).

Katanya, walaupun ia belum diputuskan namun banyak reaksi positif daripada pelajar dan ibu bapa serta ahli akademik yang mahu tempoh latihan itu dipanjangkan kerana tempoh tiga bulan tersebut dikatakan terlalu singkat.

"Oleh itu menerusi strategi lautan biru, kita akan memperlihatkan perubahan dalam memberi nilai tambah terhadap program itu supaya ia mempunyai nilai ekonomi dan ditambahkan dengan kursus keterampilan kepimpinan," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, yang meminta kerajaan mengurangkan perbelanjaan bagi program tidak berkesan, Ahmad Zahid mencadangkan supaya Khairy Jamaluddin membangkitkan perkara itu semasa perbahasan di Parlimen.

Tambah beliau, program PLKN yang bermula sejak 2004 sehingga kini telah menelan kos sebanyak RM4.2 bilion.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.