Andainya Osama Syahid, Akan Lahir Lagi Ramai Osama Baru...Pandangan PM Najib Ditempelak Tuan Guru Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Kenyataan kononnya dunia akan lebih selamat dengan kematian Osama bin Laden di tangan pasukan elit Amerika Syarikat (AS) adalah pandangan tidak cermat, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Selain itu tegas beliau, kenyataan seperti itu menampakkan diri pihak yang mengeluarkan pandangan berkenaan sebagai penyokong AS.

“Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?” kata Nik Aziz (gambar) yang juga Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Nik Aziz tidak menyebut nama pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kematian pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden dalam satu operasi ketenteraan AS di Pakistan dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.

“Saya harap ia (kematian Osama) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berharap kematian pengasas Al-Qaeda itu akan membuatkan dunia menjadi lebih aman, selamat dan adil.

Beliau juga berharap kematian Osama akan dapat memulihkan semula nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif dibawa oleh pengasas Al-Qaeda itu.

Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada semua pihak bahawa meskipun kematian Osama memberi tamparan hebat kepada al-Qaeda, namun itu tidak bermakna pergerakan tersebut akan terkubur sama sekali sebaliknya ia tetap boleh disusun serta digerakkan semula.

“Kita tidak boleh anggap segala-galanya telah tamat ekoran kematian Osama tetapi jelas kehilangannya merupakan satu kehilangan bagi pihak Al-Qaeda terutama dari segi kekuatan kepada pergerakan itu.

“Di peringkat negara pula tiada tanda pergerakan al-Qaeda wujud. Namun begitu pihak polis akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk mengesan jika ada apa-apa tindakan daripada mana-mana pihak untuk menunjukkan simpati kepada kematian Osama,’’ katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.