Lihat Sendiri Video Ini : Laporan Kosmo & Utusan Malaysia Dengan Kenyataan MB Kedah Berkaitan Cukai Tanah & Masalah Air Di UUM.. Siapa Betul?





ALOR SETAR, 19 April - Kerajaan Negeri menawarkan diri untuk mengambil alih Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pentadbirannya sekarang sudah tidak mampu mengurus kewangan universiti.

Cabaran itu dibuat oleh beliau ekoran dakwaan UUM tidak mampu membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata demikian kepada wartawan selepas Majlis Perhimpunan Bulanan warga Wisma Darul Aman.

Menurut Menteri Besar, kenaikan cukai tanah UUM sebenarnya tidak berlaku. Apa yang terjadi ialah penarikan balik rebat cukai tanah selama dua tahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada UUM.

Katanya, jumlah perlu dibayar UUM sebanyak RM1.2 juta adalah mengikut perjanjian asal tanpa sebarang kenaikan. Pembayaran RM100 ribu setahun bagi tahun 2006 hingga 2008 yang dibuat oleh UUM adalah selepas Kerajaan Negeri meluluskan permohonan rebat oleh mereka.

Tambahnya, tempoh rebat cukai tanah bagi 2006 hingga 2008 itu sudah tamat jadi mereka kenalah bayar penuh.

“Kerajaan Negeri sama sekali tidak bercadang untuk menaikkan mana-mana cukai tanah memandangkan cukai tanah baru sahaja diturunkan pada tahun 2008.

“Sepatutnya dia kena bayar RM1.2 juta, jika UUM menghadapi masalah kewangan mereka boleh mohon dikurangkan (rebat),” ujarnya.

*******************************************************************************
Laporan KOSMO

Cukai tanah tahunan UUM RM1.8 juta

PUTRAJAYA – Sukar dipercayai apabila kerajaan negeri Kedah sanggup mengenakan kadar cukai tanah tahunan 10 kali ganda lebih tinggi atau sebanyak RM1.8 juta setahun ke atas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sejak tiga tahun lalu.

Nasib malang universiti itu didedahkan sendiri oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang terpaksa merayu kerajaan negeri supaya mengurangkan kadar cukai tersebut.

Menurutnya, kadar cukai tanah yang terlalu tinggi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan universiti.

Sebelum ini UUM membayar RM150,000 cukai tanah setahun.

Lebih menyedihkan lagi, ujar beliau, UUM juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menyewa lori mengangkut air bagi kegunaan pelajar universiti tersebut yang menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih sejak tahun lalu.

Menurutnya, sejak setahun lalu sebahagian pelajar UUM terpaksa mengambil air menggunakan baldi daripada lori yang disewa khas tersebut dan ia menyukarkan usaha universiti berkenaan menarik pelajar dari luar negara.

“Masalah ini amat membebankan kewangan dan kami telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya cukai tanah itu dikurangkan tetapi tiada jawapan hingga kini.

“Bagaimanapun kami tetap tidak ketinggalan menjelaskan bayaran yang dikenakan itu sejak tiga tahun lalu” katanya pada majlis pelancaran Program Khas Pasca Siswazah Untuk Ahli Parlimen di UUM oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini semalam.

#########################################################

Cukai tanah UUM 10 kali ganda



Mohamed Khaled Nordin (tengah) berbincang sesuatu dengan beberapa Ahli Parlimen pada Majlis Pelancaran Program Khas Pascasiswazah Untuk Ahli Parlimen di Hotel Marriott, Putrajaya, semalam. – Utusan/HANAFI KHAMIS


PUTRAJAYA 18 April – Tindakan kerajaan negeri Pas Kedah menaikkan cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri amat dikesali kerana universiti itu kini terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri itu juga gagal menyediakan bekalan air mencukupi sehingga memaksa pihak pengurusan UUM membayar antara RM80,000 sehingga RM90,000 sebulan bagi kos lori mengangkut air ke universiti tersebut.

Menurutnya, ini jelas menunjukkan sikap kerajaan negeri yang tidak serius dalam menjayakan sektor pengajian tinggi negara bagi memenuhi keperluan melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi.

“Kita harap kerajaan negeri Kedah tidak mengenakan cukai terlampau tinggi kerana wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan.

“Kerajaan negeri sebaliknya cuba mendapatkan keuntungan daripada sebuah institusi pengajian tinggi sedangkan mereka sepatutnya faham bahawa UUM adalah sebuah pusat akademik yang berfungsi untuk melahirkan modal insan.

“Di Selangor, kerajaan negeri tolak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan di Kedah isu bekalan air dan cukai tanah pula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pascasiswazah untuk ahli Parlimen, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Mohamed Khaled menambah, kerajaan negeri Kedah hanya tahu mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga gula dalam ceramah politiknya sedangkan mereka sendiri menaikkan cukai tanah pada kadar cukup tinggi.

Sementara itu, Dr. Mohamed Mustafa berkata, beliau telah menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak awal tahun ini untuk berbincang mengenai isu air dan merayu agar kadar cukai tanah dikurangkan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.