Buku Jingga 100 Hari PR Memerintah Menjadi "Buku Berhantu" Buat PM Najib

PETALING JAYA, 28 JAN: Pengumuman Datuk Seri Najib Razak bahawa kenaikan tol bagi Lebuhraya Karak dibekukan serta pembatalan tol di persimpangan Salak dan Taman Connaught bermula Mei ini; adalah pengakuan dan penerimaan Barisan Nasional bahawa janji-janji di dalam Buku Jingga boleh dilaksanakan, kata Azmin Ali dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR menjelaskan selepas janji Buku Jingga mengariskan untuk menghapuskan tol, barulah kerajaan melaksanakannya sekarang.

"Adalah bukti Pakatan Rakyatlah yang kini memimpin perubahan dalam negara ini melalui idea-idea dasarnya yang pro-rakyat dan kini menjadi asas perbincangan utama ke arah perubahan," katanya.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri itu tetapi mahukan Najib berterus-terang dan mengesahkan bahawa kerajaan pusat tidak akan membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

"Sama ada pampasan tunai secara langsung mahupun pampasan tidak langsung dalam bentuk anugerah aset atau kontrak secara terus. Sewajarnya keputusan besar yang akan mendatangkan kesan kewangan kepada perbelanjaan negara seperti ini dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu, bukannya diputuskan mengikut kemahuan Perdana Menteri," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Tindakan ini katanya, bukti penerimaan Perdana Menteri terhadap janji Buku Jingga adalah praktikal dan ada kelebihan ekonomi.

"Mungkin ini adalah salah satu sebab kenapa beliau enggan berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pun begitu, demi rakyat saya menyeru Kerajaan Persekutuan untuk terus melaksanakan janji Buku Jingga terutamanya menghapuskan ISA, kerana ini boleh dilakukan dengan mudah," tegasnya.

PKR akan terus memantau tindakan Kerajaan Persekutuan dan menyokong tindakan mana-mana pihak yang didasarkan pada Buku Jingga kerana ia akan menguntungkan rakyat.
-tvsnews-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.