Utusan Terus Bermain Api Dengan Isu Lim Kiat Siang Dilantik TPM Selepas PRU13, Sekiranya...

November 30, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menafikan bahawa Penasihat DAP Lim Kit Siang ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya perikatan tiga komponen itu mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah, pemimpin-pemimpin PR juga mendakwa mereka tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan mengenai perkara itu, sambil menuduh Barisan Nasional (BN) memutarbelitkan fakta bagi mencetuskan ketegangan di kalangan komponen PR.

“Perkara itu tidak pernah dibincangkan. Saya tiada pengetahuan mengenai perkara itu.

“Utusan Malaysia melepaskan peluru kosong, saya percaya mahu mencetuskan ketegangan dalam Pakatan,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada The Malaysian Insider semalam.

Hadi berkata keputusan penting seperti itu tidak akan dibuat tanpa diadakan perundingan bersama pemimpin-pemimpin PR.

Laporan Utusan Malaysia semalam menyebut Kit Siang (gambar) sudah sah akan diangkat sebagai timbalan perdana menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Kit Siang berperanan membantu tugas-tugas Perdana Menteri yang sudah semestinya akan dipegang oleh Anwar, kata laporan itu.

Menurut akhbar itu, janji itu dilafazkan oleh Anwar dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily yang disiarkan Jumaat lalu bersempena Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh.

Sambil menyatakan keyakinan penuh bahawa pakatan pembangkang akan menguasai Putrajaya dan mengekalkan pemerintahan di empat buah negeri, beliau juga optimis akan merampas kembali Perak sambil menyasarkan empat buah negeri iaitu Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang senada dengan Hadi berkata, isu itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat kepimpinan PR.

“Saya tidak ketahui perkara itu. Di Pakatan, kami ikut sistem seperti Syura, di mana konsensus di kalangan semua parti adalah sangat penting,” kata Guan Eng kepada The Malaysian Insider.

Anwar, bagaimanapun tidak menafikan atau mengeyakan laporan itu tetapi hanya ketawa apabila ditanya mengenai isu itu.

“Ini laporan Utusan, apa yang anda harapkan? Saya akan menyentuh isu ini pada Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri (yang diadakan di Shah Alam semalam),” kata Anwar.

Begitu juga, Kit Siang tidak mahu mengulas apabila ditanya sama ada Anwar ada menawarkan beliau jawatan timbalan perdana menteri.

“Tiada komen, tiada komen. Saya tidak mahu komen,” kata Kit Siang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.