Presiden Perkasa Selamat Jalani Pembedahan Jantung 5.00 Petang Tadi.. Masih Belum Sedar Sepenuhnya

AHLI Parlimen bebas Pasir Mas Ibrahim Ali sudah selamat menjalani pembedahan jantung kira-kira jam 5:00 petang tadi. Beliau dibawa masuk ke bilik pembedahan (OT) jam 11:00 pagi. Ketika ini beliau ditransit di wad CCU, Ampang Puteri, Selangor. Bagaimana pun beliau masih belum sedar sepenuhnya kerana obat bius dan dijangka akan sedar sepenuhnya menjelang jam 10:00 malam ini.

Menurut rakan baik Ibrahim sdr Zainal Abdul Rashid yang memaklumkan menerusi SMS, ramai sanak saudara, kawan dan kenalan beliau berhimpun di luar hospital menanti perkembangan pembedahan itu. Masing-masing sugul dan berdoa agar pembedahan itu selamat, mereka baru beredar selepas mengetahui pembedahan selesai dan selamat dijalankan.

"Alhamdulilah MSO pembedahan Datuk Him selamat dan terima kasih kepada MSO yang turut mendoakan dalam blog dan FB," kata Zainal yang dikenali dengan panggilan manja Abe.

Dalam pada itu sejak saya postingkan mengenai pembedahan Ibrahim ramai penjenguk yang turut menyatakan simpati dan turut berdoa untuk beliau. Masing-masing berharap Ibrahim akan sembuh dan meneruskan perjuangan beliau menerusi Persaka.

"Kita mahu orang seperti Tok Him kerana di dalam buruknya ada baiknya khasnya untuk orang Melayu," kata seorang penjenguk. Dalam pada itu beliau berharap semoga apa yang dilalui Ibrahim hari ini akan memberi ruang untuk beliau melakukan mahasabah diri.

Dalam itu ada juga komen-komen liar dan nakal yang saya kira datangnya dari mereka yang terlalu marahkan Ibrahim dan tidak dapat menilai dan membezakan situasi Ibrahim kini dengan lagaknya di atas pentas selama ini.

InsyaAllah saya bercadang akan mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan pembedahan Ibrahim itu sebaik saja beliau dibenarkan keluar dari hospital sebagai menandakan penghormatan saya ke atas beliau sebagai seorang perjuangan rakyat meskipun ada banyak perbezaan teknik perjuangan antara saya dengan beliau.
[wm.kl. 8:20 pm 18/10/10]

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.