Anda Bijak Zauhi Zina - Risalah DPPNK Ajak Remaja Hayati Kemerdekaan


Edar risalah di ambang merdeka



ALOR SETAR - Walaupun sambutan malam kemerdekaan tidak diraikan dengan percikan bunga api namun, dataran yang dahulunya dikenali sebagai Dataran Paris dipenuhi dengan penduduk bandar raya ini sejak jam 11 malam, kelmarin.

Safuan Asraf Azmi, 20, berkata, sambutan malam ambang merdeka tetap meriah walaupun tidak ada kiraan detik jam 12 tengah malam secara beramai-ramai kerana masing-masing menyambutnya dengan cara tersendiri.

Menurutnya, sambutan kali ini diraikan mengikut cara masing-masing dan memberikan suasana baru pada malam ambang merdeka.

“Hari Kemerdekaan kali ini disambut pada bulan Ramadan, jadi tidak salah sekiranya tidak ada sambutan pada malam ambang merdeka termasuklah percikan bunga api.

“Bagi saya hal ini juga bagus sebagai tanda kita menghormati Ramadan sebagai bulan untuk kita beribadat,” katanya kepada Sinar Harian.

Safuan Asraf berkata, sambutan kemerdekaan tidak semestinya disambut dengan percikan bunga api malah ia perlu disambut dengan penuh penghayatan dan semangat merdeka oleh setiap individu.

Generasi terdahulu yang turut sama meraikan malam ambang merdeka, Ahmad Bidin, 57, berkata, sambutan yang diraikan zaman sekarang dan dahulu tidak jauh bezanya.

Menurutnya, pada masa dahulu juga sambutan kemerdekaan disambut di Dataran Paris dan diraikan anak muda pada masa itu sama seperti sekarang.

“Masa zaman saya muda dahulu, golongan muda sambut samalah seperti golongan muda sekarang, ada yang menunggang motosikal dan ada yang menaiki basikal serta memasang bendera di kenderaan masing-masing.

“Pada masa itu, percikan bunga api pun sudah ada tetapi tidak seperti bunga api zaman sekarang namun sambutannya tetap meriah,” katanya.

Namun, bagi Mohd Safuan Ibrahim, 20, berkata, kemeriahan sambutan ambang kemerdekaan tidak dapat dirasai apabila tidak ada percikan bunga api.

Mohd Safuan berkata, sambutan malam ambang merdeka yang disambut setiap tahun bersama rakannya seolah-olah tidak meriah apabila tiada percikan bunga api seperti tahun sebelum ini.

Sementara itu, bagi Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) malam ambang kemerdekaan itu dijadikan sebagai platform kepada ahli untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat agar menjauhi gejala sosial antaranya zina.

Ketua Penerangan DPPNK, Mohd Nasir Zakaria berkata, sebanyak 2,000 risalah diedarkan kepada orang ramai yang hadir bagi menyambut ambang merdeka.

“Aktiviti yang diadakan ini bertujuan mendekatkan golongan muda dengan DPPNK kerana slogan aktiviti ini juga adalah Orang Muda, Geng Kita, jadi kita mahu sampaikan mesej kepada mereka agar jauhi perbuatan zina.

“Kita tidak marah sekiranya mereka mahu menyambut ambang merdeka, namun DPPNK mahu mereka lebih berhati-hati dan menyambut dengan cara yang betul,” katanya.

-SH

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.