Tidak Salah Kelantan Guna Mata Wang Syariah Dinar : Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menyokong langkah Kelantan yang memperkenalkan mata wang syariah dua minggu lalu sebagai kaedah tambahan pertukaran walaupun pusat menganggap ia bercanggah dengan undang-undang negara.

“Saya merasakan kerajaan negeri Kelantan yang percaya pada potensi (dina dan dirham) seharusnya bertindak (ke arah itu) dan berusaha agar ia dapat digunakan,” kata pemimpin veteran Umno ini.

Tengku Razaleigh (gambar) ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (Persada) di sini hari ini.

Sambil mengakui bahawa hanya Bank Negara yang boleh mengeluarkan mata wang sah tiada halangan bagi menggunakan dinar dan dirham sebagai saluran pertukaran tambahan.

Sambil menarik sekeping piring kecil ketika bercakap kepada pemberita, Ketua Umno Gua Musang ini menambah, “ini bermakna kita boleh menggunakan piring kecil ini dengan apa sahaja yang kita mahukan dengan syarat orang yang terlibat mahu menerima piring ini (sebagai nilai pertukaran).”

“Dinar dan dirham diperkenalkan oleh Kelantan... boleh diterima oleh semua, jika kita memilih untuk berbuat demikian,” katanya.

“Undang-undang menekankan bahawa hanya ringgit sahaja boleh digunakan untuk mengelakkan kekeliruan tetapi jika seseorang memutuskan untuk menerima dinar, itu adalah hak mereka,” katanya.

Tengku Razaleigh menambah beliau tidak melihat penggunaan dinar dan dirham sebagai sesuatu yang salah selagi mata wang syariah tidak menggantikan ringgit yang kini merupakan mata wang yang sah.

“Jika orang hendak menggunakan piring ini sebagai sumber (pertukaran) mereka boleh lakukan,” kata beliau sambil menambah, ia tidak boleh digunakan di peringkat nasional.

Pada 12 Ogos lalu, selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, kerajaan negeri itu memperkenalkan mata wang syariah dinar emas dan dirham perak.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menjadi hasratnya untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urus niaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri satu hari nanti.

Bagaimanapun, kata beliau masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya.

Dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23mm dengan berat 4.25 gram bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20mm (1.06 gram) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21mm (0.5 gram) bernilai RM99.38.

Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.

Nik Aziz yang juga Pengerusi PMBK berkata, sehingga ini lebih 1,000 peniaga bersetuju menggunakan emas dinar dan dirham sebagai mata wang alternatif untuk berurus niaga di premis mereka.

Selain itu, Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurus niaga.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.