Persidangan Perwakilan UMNO Bkt. Bendera - Laporan Polis Dibuat Dedahkan Kecelaruan

Laporan polis menyusul selepas melabuhnya tirai Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera semalam, sedikit sebanyak mendedahkan "kecelaruan" yang berlaku di sebalik "kegemilangan" persidangan tersebut. Sungguhpun kesemua jawatan dimenangi tanpa pertandingan, namun sesetengah pemimpin mula meluahkan ketidakpuasan mereka terhadap pimpinan yang dikuasai bekas Ketuanya, Ahmad Ismail.

Anugerah "Wira Bangsa" dikurniakan kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail (gambar kanan, tengah) untuk mengenang jasa beliau yang sanggup untuk tidak memegang apa-apa jawatan dalam Bahagian, sebaliknya masih setia kepada perjuangan parti dan bangsa.

Demikianlah kata-kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri, dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang diadakan di Hotel Eastin, Bayan Baru, semalam.

Persidangan yang ditangguhkan dua kali sebelum ini telah menyaksikan semua jawatan dimenangi tanpa pertandingan. Jawatan Ketua UMNO Bahagian masih lagi kekal di tangan Abdul Jalil Ariffin dan Timbalannya pula ialah Mohd Salim Bari. Manakala jawatan Naib Ketua pula dimenangi oleh Ismail Abu Bakar.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian buat laporan polis

Bagaimanapun, persidangan yang diraikan dengan penuh adat istiadat Melayu yang gilang-gemilang itu telah dicemari dengan laporan polis yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera, Rose Akmar b. Ahmed di Balai Polis Butterworth.

Menurut Akmar lagi, beliau bersama beberapa penyokong membuat laporan tersebut untuk melahirkan rasa kecewa beliau di atas tindakan UMNO Bahagian Bukit Bendera yang tidak menurut prosedur dalam melaksanakan persidangan bahagian.

"Laporan polis sebelum ini telah dibuat oleh empat perwakilan pada 9 Julai yang lalu. Namun begitu pihak bahagian masih lagi tidak mengendahkan segala laporan yang dibuat," jelasnya.

Rose Akmar mempertikaikan, "Mereka tidak mengikut peraturan dalam Perlembagaan parti. Cawangan saya iaitu Kampung Mutiara hanya menerima notis persidangan pada 6 Ogos sedangkan persidangan pada 8 Ogos. Apakah ini mengikut perlembagaan parti?"

Akmar: UMNO Bukit Bendera bercelaru

Akmar juga berkata, tindakan yang diambil adalah bagi membuktikan bahawa UMNO Bahagian Bukit Bendera masih lagi berada dalam suasana bercelaru.

Manakala Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Air Itam, Zainol Shaikh Ariffin (gambar kanan) yang turut hadir berkata, sepatutnya notis persidangan diberikan dalam masa 14 hari, tetapi ini tidak berlaku.

"Mereka tidak mengguna pakai perlembagaan parti yang ada. Mereka hanya menggunakan apabila ianya untuk kepentingan mereka sahaja," sambungnya.

Zainol berkata,"Kami bukan saja tidak dimaklumkan mengenai persidangan ini malah cawangan yang tidak menyokong mereka akan dipinggirkan."

Tidak terima notis mesyuarat

Sementara itu, Ketua Pemuda Cawangan Kampung Mutiara, Rose Azaley pula mendakwa bahawa dalam persidangan pemuda UMNO Bahagian baru-baru ini, mereka juga tidak menerima notis mesyuarat.

Rose Azaley (gambar kiri) berkata, "Laporan polis juga telah kami buat bagi meminta supaya keadilan bagi pihak cawangan-cawangan yang ditindas ini. Namun begitu sehingga ini tiada tindakan yang diambil."

"Sekiranya ini adalah tingkah laku yang ada pada kepimpinan UMNO bahagian, maka ia bukan saja merugikan penyokong yang sedia ada, malah ia membuktikan betapa seriusnya keretakan yang berlaku dalam UMNO Bahagian Bukit Bendera sendiri," tegasnya lagi.

Ahmad Ismail yang telah digantung sebagai Ketua UMNO Bahagian pada 2008 yang lalu berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Jawatankuasa Bahagian bagi mengadakan pemilihan baru.

Namun begitu, beliau telah menarik diri pada minggu lalu setelah mendakwa bagi memantapkan perpaduan parti dan Barisan Nasional di Pulau Pinang. Sebelum ini, Ahmad Ismail mencetuskan kontroversi dengan dakwaan "kaum Cina dan India sebagai pendatang yang menumpang di Tanah Melaya", malah bertelagah secara terbuka dengan parti komponen Barisan Nasional, Gerakan di Pulau Pinang.

*Nazar Hashim ialah penulis khas untuk MerdekaReview.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.