Bila Dah Kantoi Inilah Cakapnya: "Pemimpin Umno, PAS jumpa saya orang kecil saja"

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Sambil menjelaskan beliau tiada kuasa untuk mengatur pertemuan antara Umno-PAS, Mufti Perak berkata, mereka yang datang memujuknya agar menjadi orang tengah adalah “pemimpin kecil” kedua-dua parti Melayu Islam itu
.
Tan Sri Harussani Zakaria yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini, sekali lagi mengakui ada pemimpin Umno dan PAS berjumpa dengannya bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

“Memang ada pemimpin kedua-dua parti berjumpa saya mengenai perkara itu tapi hanya orang kecil sahaja.

“Tapi tidak kisah semua itu, yang penting perlu cari alternatif baru untuk mewujudkan kerjasama antara Umno dan PAS.

“Saya akui memang Melayu tidak akan hilang di dunia, sama seperti Red Indian mereka tidak hilang di dunia tetapi lihat keadaan mereka sekarang,” kata beliau.

Dalam laporan awal The Malaysian Insider hari ini, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad menegaskan, pihaknya tidak pernah menghantar wakil secara rasmi untuk meminta Harussani menjadi orang tengah ataupun pertemuan dengan Umno.

Malah beliau juga berkata PAS tiada minat untuk mengadakan dialog dengan Umno lagi sambil menganggap bab itu sudah ditutup.

Sehubungan itu beliau hari menyifatkan orang Melayu sebagai "bodoh" jika terus bergaduh antara satu sama lain semata-mata demi kepentingan politik yang akhirnya akan menyebabkan kemusnahan bangsa Melayu dan agama Islam.

Namun beliau berkata masih ada cara untuk mencari jalan penyelesaian demi mempertahankan orang Melayu dan Islam iaitu melalui kerjasama antara Umno dan PAS.

“Terus terang saya katakan bahawa kerjasama antara Umno dan PAS penting untuk menjaga dan mempertahankan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Tapi saya sedih apabila melihat orang Melayu hari ini berpecah-belah hanya kerana perbezaan politik sahaja. Apa nak jadi dengan orang Melayu sekarang?” katanya.

Harussani berkata, “sekarang kita sendiri sudah lihat bagaimana orang Melayu susah nak dapat kerja, nak dapatkan biasiswa pun susah.”

“Adakah mereka masih tidak sedar?,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau berkata tidak boleh untuk mengaturkan pertemuan antara Umno dan PAS kerana tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Saya tiada kuasa untuk mengadakan pertemuan itu tapi sekiranya kedua-dua parti ingin berbuat demikian saya boleh menjadi penggerak bagi memastikan kerjasama itu berjaya,” katanya.

Justeru kata beliau, sekarang keputusan itu terpulang kepada Umno dan PAS kerana “kalau tidak sia-sia usaha saya untuk menyatukan orang Melayu.”

“Cuma saya ingin tegaskan supaya Umno dan PAS fikirkan tentang bangsa dan Islam kerana jatuh Melayu jatuhlah Islam. Jangan fikirkan tentang kepentingan parti sahaja, fikir sikit orang Melayu yang di bawah,” katanya.

Harussani juga membidas sikap pemimpin kedua-dua parti yang hanya mementingkan kedudukan mereka tanpa memikirkan masa depan orang Melayu.

“Sebelum ini Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) cakap nak memperjuangkan Islam tapi bila minta bersatu tidak mahu pula, inikah perjuangan PAS?” katanya.

“Umno memang daripada dulu sudah hanyut sebab itu saya mahu kedua-dua parti sedar akan tanggungjawab mereka dalam pertahankan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Harussani juga menambah, jika orang Melayu tidak mempertahankan hak mereka, maka orang bukan Melayu akan ambil alih negara.

“Sebagai contoh Pulau Pinang dan Singapura, ia sudah diperintah oleh orang bukan Melayu. Malah saya percaya dalam pilihan raya umum nanti orang bukan Melayu pasti akan menang kerana sikap bodoh orang Melayu sendiri,” tegasnya.

Semalam, Harussani berkata beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.