‘Pusat tak hukum pengikut wahabi, tapi jadi isu peribadi’

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Pentadbiran Najib menafikan dakwaan yang pihaknya memulakan tindakan menghukum pengikut fahaman wahabi, sebaliknya apa yang berlaku sekarang lebih mirip agenda peribadi seorang ulama kerajaan terhadap pihak-pihak tertentu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan tidak pernah mengaitkan pengikut fahaman wahabi dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

“Jemaah Islamiyah dan fahaman wahabi telah disalah tafsir, menyebabkan kedua-duanya dikaitkan dengan keganasan.

“Saya tidak fikir adalah betul untuk melabel mana-mana pihak atau organisasi dengan fahaman wahabi, dengan mengatakan ia ada kaitan dengan keganasan,” kata Saifuddin ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS Datuk Mahfuz Omar.

Menjawab soalan ketika sesi soal jawab lisan, beliau memberitahu, oleh kerana hujah dalam isu ini jelas maka tidak wajar melabelkan empat orang yang terlibat dengan wahabi atau pengganas.

Ketika Saifuddin menjawab demikian di Dewan Rakyat, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

The Malaysian Insider difahamkan selain Asri, Zamihan turut mengaitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan JI.

Zamihan juga mempersoalkan bagaimana boleh berlaku “kebocoran” perbincangan sesi taklimat itu sedangkan ia adalah sulit dan menyifatkan dakwaan itu sebagai rekaan untuk menimbulkan salah faham.

Dalam penjelasannya, Saifuddin mendakwa Zamihan mempunyai agenda peribadi dengan bekas menteri besar Perlis.

“Orang yang memberikan taklimat ini mempunyai isu peribadi dengan Shahidan... bagaimana isu peribadi ini berubah menjadi isu keselamatan nasional.

“Saya bimbang ini akan berubah menjadi Islamophobia,” kata Saifuddin.

Sehubungan itu timbalan menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan membenarkan isu ini menjejaskan kebebasan intelektual dan akademi negara ini.

- TMI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.