'Politik dia pelik sikit' - Apakah Pasir Mas Tetap Sayang Ibrahim Ali???

Datuk Ibrahim Ali sentiasa berusaha untuk mengekalkan popularitinya di kalangan masyarakat, menurut penduduk di kawasan yang diwakilinya -- Pasir Mas, Kelantan.

Langkah itulah yang membolehkan dirinya sentiasa diingati oleh pengundi di kawasan tersebut, di samping kelantangannya
mengutarakan isu-isu melibatkan numiputera di Dewan Rakyat.

Bagi kawasan yang majoritinya penduduk Melayu seperti Pasir Mas, isu berkenaan merupakan modal utama Ibrahim bagi memenangi hati mereka.

Selain itu, menurut seorang penduduk tempatan yang ditemubual, Ibrahim juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang "mesra rakyat" serta mudah untuk didekati.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Abang Yie (kiri) berkata Ibrahim "tidak memilih" dalam mendekati masyarakat di sini.

"Dalam kedai kopi mana pun dia masuk untuk berbual. Dia bukannya macam sesetengah pemimpin, bila jadi ahli parlimen, susah untuk ditemui. Dia mudah," kata Abang Yie, 46.

Katanya lagi, sumbangan paling besar Ibrahim, yang sentiasa diingati oleh penduduk di sini ialah pembinaan Jambatan Sultan Ismail Petra yang menghubungkan Tendong dan Kampung Pendek di Pasir Mas.

Jambatan yang dirasmikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada September 2002 itu juga dikenali dengan nama 'Jambatan Ibrahim Ali' oleh penduduk tempatan.

'PERKASA bukan pertubuhan rahsia'

"Jambatan (di) Tendong itu orang panggil (dengan nama) Jambatan Ibrahim Ali. Atas usaha dialah (buat jambatan itu). Banyak lagilah (usaha beliau), yang kita tidak tahu pun banyak juga," kata Abang Yie lagi.

Abang Yie juga berkata Ibrahim Ali juga popular kerana beliau mengambil berat kaum bumiputera.

"(Ibrahim) bukan perkauman, tapi Bumiputera memang dia ambil berat," kata Abang Yie lagi.

Tambahnya, beliau juga mengetahui mengenai kewujudan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

"Tapi saya belum masuk lagi jadi ahli sebab tak ada masa nak pergi sedangkan saya tahu pejabatnya di Jalan Pengkalan Batu (Pasir Mas). (Pejabat itu terletak) kira-kira 2 kilometer daripada sini.

"Aktiviti PERKASA ini saya tidak tahu sebab saya belum sertai lagi. Ada kawan-kawan yang masuk, tapi kita belum sertai lagi.

"(PERKASA) bukanlah pertubuhan rahsia. Dia memang buat (aktiviti) secara terbuka. Cuma kawan-kawan (saya) saja yang masuk (jadi ahli). Saya sibuk bekerja," katanya lagi.

Latar belakang Ibrahim Ali yang sebelum ini sering melompat parti sehinggalah sekarang menjadi wakil bebas, nyata tidak menggugat sokongan masyarakat di sini, seperti Abang Yie.

95% harapan menang

"Kalau Tok Him masuk mana pun, (parti) bulat ke, segi apa pun, pengaruh dia banyak di kawasan Pasir Mas ini. Daripada dulu lagi. Kalau dia masuk ke manapun memang boleh menang.

"Bukanlah 100 peratus, 95 peratus itu ada harapanlah untuk dia menang. Asal letak dia sebagai calon, mesti menang," katanya dengan yakin.

Bagi seorang warga emas di sini pula, Ibrahim Ali juga bukanlah seorang yang asing bagi kawasan tersebut.

Abdullah Yunus (kanan), 74, berkata, Ibrahim Ali mengenalinya dan sentiasa datang ke kedai makannya apabila berada di Pasir Mas.

Ibrahim juga akan membayar harga makanan dan minuman bagi setiap orang yang makan di kedai tersebut, setiap kali kunjungannya, kata Abdullah.

"Dia buat begitu (belanja makan) sebab hendak orang suka kepada dialah," kata Abdullah ketika ditemui di kedainya yang terletak di Bangunan Parti Semangat 46, di tengah-tengah bandar Pasir Mas.

Katanya lagi, kalangan masyarakat di sini masih berbelah bagi untuk menerima Ibrahim Ali. Abdullah sendiri tertanya-tanya sama ada Umno atau BN akan kembali menerima Ibrahim.

Abdullah juga berkata, beliau tidak dapat membaca sikap sebenar yang ditunjukkan Ibrahim di sebalik tindakannya yang sering berubah pendirian politik. Namun, beliau yakin masih ada penyokong PAS yang akan tetap menyokong wakil bebas itu.

'Politik dia pelik sikit'

"Politik dia ni, pelik sikit. Dia suka sebelah mana dia nampak kuat," katanya.

"Orang tak boleh baca (tindakan dia). Banyak orang tak boleh baca. Pergi tanya sesiapa pun, ramai yang tidak boleh baca.

"(penyokong PAS (akan) bagi (undi) kepada dia. Memang dia banyak tidak setuju (dengan) PAS, tapi susahlah Ibrahim Ali ni. Semua orang kata susah Ibrahim Ali.

"Tapi (penyokong) PAS ini dia tidak kira. Asalkan orang boleh menang, dia akan terus pangkah. Dia tidak kira," katanya.

Abdullah berkata, Ibrahim juga popular di kalangan penyokong PAS kerana sikap murah hati yang ditunjukkan.

"Dia memang tidak kisah masuk ke dalam kampung mana-mana pun. Kalau masuk dalam kedai (penyokong PAS) pun dia akan belanja semua orang. Kalau hendak panggil kenduri besar-besar dia akan panggil (semua orang). Sebab itu sesengah orang suka (kepadanya)," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Ibrahim sememangnya karakter yang sesuai untuk memperjuang isu-isu melibatkan kepentingan Melayu kerana beliau dilihat bersemangat apabila berhadapan dengan isu seperti itu.

Namun cukupkah dengan semangat itu sahaja?

"Ya, itulah sebabnya nampak kelemahan dia. Dia punya 'angin' tu, tak tahulah kenapa (dia bersikap begitu," katanya.

"Kalau hendak bercakap soal cukai, dia akan ganggu juga (kerajaan). Dia akan pertahan (hak rakyat).

"Tapi dia degil. Orang (banyak mengadu) pasal perangai dia... jenis tak harap kepada orang," katanya lagi.

Ditanya pendiriannya sendiri terhadap Ibrahim, Abdullah berkata: "Suka pun macam itu sajalah... Saya ingat Ibrahim Ali ini, kalau dia tidak bertanding lagi lepas ini tak apalah. Orang lain boleh masuk lagi," katanya.

1 comments:

  1. apa nak dipelikkan, ibrahim menunjukkan perjuangan ikhlas kerana allah. Tak macam banyak pemimpin islam lain terutama yang menggunakan islam sebagai parti tindak tanduk lebih kurang dap, perjuangan duniawi termasuk yang menggelar diri mereka tok guru. tak ade yang pelik pun.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.