Menteri Gagal Urus Wang Felda – Zaid

zaid_ibrahimPETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini menyelar kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mengenai kerugian rizab wang Felda.

Mengulas mengenai jawapan yang diberikan Ahmad dalam Dewan Rakyat kelmarin mengenai rizab tunai Felda menyusut daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009 menunjukkan kerugian sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

"Kenyataan beliau jelas menunjukkan kecetekan pemikiran Timbalan Menteri mengenai Felda berdasarkan jawapannya di Parlimen.

"Ahmad gagal menjelaskan keuntungan Felda melalui pelaburannya, tapi hanya menggambarkan penggunaannya seperti belanja membeli-belah dan untuk tujuan kebajikan sahaja," katanya.

Zaid berkata, jumlah RM2 bilion itu merupakan jumlah besar jika Ahmad mendakwa Felda membelanjakannya untuk program tanaman semula.

Timbalan Menteri sepatutnya secara terperinci menjelaskan peruntukan wang RM2 bilion itu kepada jumlah peneroka yang terlibat, kawasan tanah, jika ini termasuk dalam kos sara hidup dan bayaran pendahuluan kepada peneroka mengikut piawaian penanaman semula yang ditetapkan, katanya.

Bagaimana RM253 juta dibelanjakan

Tambahnya, Timbalan Menteri juga tidak menjelaskan mengenai bagaimana RM253 juta dibelanjakan dan manfaatnya kepada generasi lain.

"Adakah wang itu pergi terus kepada peneroka miskin, atau adakah ia disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah?

"Jika ini dianggap sebagai ‘kebajikan awam’, kita mesti tertanya-tanya jika Akta Felda termasuk membantu kerajaan negeri dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang kini mengalami kekurangan tunai," katanya.

Zaid turut mempersoalkan Ahmad tidak menjelaskan mengapa Felda membayar deposit 40% (berbanding jumlah biasa sebanyak 10%) kepada Naza TTDI untuk membina bangunan ibu pejabatnya sejumlah RM662 juta, jumlah yang jauh melebihi harga pasaran.

Selain itu katanya, syarikat Felda Rubber, Sutera Jaya dan Felda Herbal sudah pun gulung tikar.

"Perlu ada satu penjelasan terperinci jika penutupan syarikat itu ada kaitan dengan kelemahan salah guna urus tadbir," terang beliau.

Sehubungan itu, Zaid mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya dalam Felda dan biarkan organisasi lain menguruskan Felda secara profesional dan telus.

"Menteri, dan bukannya Timbalan Menteri yang perlu menjawab persoalan ini di Parlimen terutamanya apabila membabitkan hasil cukai daripada wang rakyat digunakan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.