Kerusi Untuk Pilihanraya ke 13 akan diperhalusi Sesama Pemimpin PR


PENGKALAN CHEPA 14 Jun - PAS mahu berbincang dengan rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat dan setakat ini masih belum mencapai keputusan muktamad berhubung pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihn raya umum ke-13.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan mengadakan perbincangan secara mendalam dan teliti dengan KEADILAN dan DAP mengenai isu pengagihan kerusi di antara parti dan juga pemilihan calon bukan Islam yang akan menggunakan logo parti.

Menjawab soalan pada sidang media selepas majlis penutup Muktamar ke-56 semalam mengenai hak mengundi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS pada pemilihan parti, Abdul Hadi berkata setakat ini mereka belum lagi dibenarkan untuk mengundi dan berharap pendirian ini difahami dengan baik oleh ahli DHPP.

"Ahli DHPP perlu faham kerana kita beri ruang kepada mereka peringkat demi peringkat, kerana untuk terus mencebur mestilah menerima dasar parti secara menyeluruh dan bagi bukan Islam tidaklah dipaksa melakukan amalan-amalan Islam kerana kita lebih menekan aspek politik. PAS bukan sahaja melibatkan dalam aspek politik tetapi terlibat juga dalam aspek dakwah dan pendidikan dan sudah tentu kita tidak dapat melibatkan mereka," kata beliau.

Menyentuh tentang perbezaan amalan Islam dalam PAS berbanding Umno, beliau menjelaskan amalan Islam yang di amalkan PAS jauh lebih konsisten berbanding dengan apa yang di amalkan oleh Umno.

"Contohnya dalam masalah judi dan arak, ianya tetap haram pada PAS tetapi bagi Umno yang ada lesen halal dan yang tak ada lesen haram.

"Satu lagi contoh ialah di Kelantan di mana kita bagi lesen kepada orang bukan Islam tetapi mereka tidak boleh jual kepada orang Islam, Umno tak ada peraturan tidak boleh jual kepada orang bukan Islam.

"Mengikut ajaran Islam kita tidak boleh mengganggu makan minum serta adat orang bukan Islam sejak Nabi Muhamad SAW lagi," terang Abdul Hadi.

Menurut beliau Umno merupakan sebuah parti sekular yang tidak menjadikan politik Islam sebagai agendanya tetapi menganggap Islam itu berasingan.

"Di dalam PAS sesuatu keputusan mesti mendapat kelulusan majlis syura ulamak dan kalau ia bercanggah dengan hukum Islam kita tidak akan meluluskannya," katanya.

Menurut beliau lagi muktamar kali ini telah berlangsung dengan cara yang baik dan dalam semangat persaudaraan dan seluruh kawasan telah menghantar wakil termasuk Sabah dan Sarawak.

"Mereka melibatkan diri dalam perbahasan dasar semalam dan hari ini. Syukurlah kita mendapat respons yang baik daripada perwakilan dan mereka menerima penjelasan yang dikemukakan khususnya dalam isu yang dibangkitkan. Mereka sudah matang dan ahli juga sudah faham cuma mereka perlu melaksanakannya di tempat masing-masing," kata Abdul Hadi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.