Kekejaman Regim Israel: PM tolak jemputan sertai dialog Pakatan esok

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan menyertai rundingan meja bulat anjuran Pakatan Rakyat esok bagi membincangkan isu serangan tentera Israel ke atas kapal “Mavi Marmara” yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin lepas.

Sebaliknya kata Najib, beliau sendiri akan membentangkan usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini bagi isu itu dibahaskan.

Najib berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan Taman Sea Park, Petaling Jaya.

Keputusan untuk pembentangan usul di Parlimen dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Pakatan Rakyat bercadang untuk mengadakan rundingan meja bulat di Kelab Sultan Sulaiman esok sebelum menyerahkan memorandum mengecam serangan Israel kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Kelmarin, Najib berkata bahawa Malaysia akan mengusulkan agar pencabulan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel itu dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, “Mavi Marmara”, dan mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Israel, yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa, dilaporkan berkata ia akan mengusir keluar kesemua 682 sukarelawan dari 35 negara yang ditahannya dalam serangan itu.

Dalam pada itu, kapal utama tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO) MV Rachel Corrie akan meneruskan perjalanan mereka ke Gaza dalam mencapai misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Penasihat PGPO Datuk Mukhriz Mahathir berkata walaupun sebuah kapal dari Turki, “Mavi Marmara” diserang oleh tentera Israel, PGPO masih bersemangat untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin dan berharap kapal Rachel Corrie akan diberi laluan selamat dan semuanya akan berjalan lancar.

Muhkriz meminta orang ramai memberi pandangan dan sokongan mereka terhadap misi bantuan kemanusiaan itu dengan melayari laman web www.perdana4peace.org.

Pada 30 Mei lepas, tiga kapal daripada PGPO berlepas ke Gaza dari Pelabuhan Malta dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Dua lagi kapal PGPO ialah “Challenger 1” dan “Challenger 2” akan bertolak dari Pelabuhan Cyprus.

Misi berkenaan turut disertai enam kapal dari kumpulan bantuan kemanusiaan antarabangsa yang lain seperti “Turkish Relief Foundation”, “European Campaign to End the Siege of Gaza” dan “Swedish and Greek Boat to Gaza Initiatives”.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.