Sumbangan RM100,000 Oleh Pemangku Raja Kelantan Kepada Pengawal Kritikal Ditembak


KOTA BAHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM100,000 kepada pengawal istana Kelantan, Ramli Mohamad yang ditembak oleh individu tidak dikenali pada 1 Mei lalu.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata sumbangan peribadi itu bertujuan meringankan bebanan keluarga Ramli, 50, yang mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.

"Pemangku Raja Kelantan amat mengambil berat terhadap Ramli yang telah ditembak baru-baru ini dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

"Para doktor telah mengeluarkan peluru dari badan Ramli melalui pembedahan. Pada masa ini keadaan beliau agak kritikal dan mengikut maklumat yang saya terima terdapat jangkitan kuman kepada beberapa organ penting beliau," katanya kepada pemberita selepas melawat Ramli di HRPZ, di sini petang ini.

Ramli parah ditembak oleh individu yang tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat pada kira-kira pukul 12.25 pagi 1 Mei lalu ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Pinang selepas selesai bertugas di istana, Kubang Kerian.

Halim berkata polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan dan Pemangku Raja berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

"Kita berserah kepada pihak berkuasa dan kehendak-kehendak dalam perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Janganlah kita meletakkan undang-undang di tangan kita," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.