RM1,000.00 : Hukuman Denda MP Padang Serai Kekal


Hukuman denda RM1,000 yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan selepas pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian hari ini semasa menolak permohonan pihak pendakwa agar Mahkamah Tinggi di sini menggunakan budi bicara untuk membenarkan petisyen tersebut mengikut Seksyen 310 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada prosiding hari ini, Gobalakrishnan diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Hamid manakala pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani dan Mohd. Nordin Ismail.

Pada 16 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hasbi Hassan menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tujuh minggu selepas Gobalakrishnan mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Hindraf.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di depan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 3 pagi, 25 November 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
-tvselangor-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.