Polis Berjaya Bongkar Kegiatan Palsukan Resit Tol PLUS



SUPRITENDAN Shafien Mamat menunjukkan sebahagian daripada resit kosong yang digunakan oleh sindiket untuk mencetak resit palsu yang dirampas dalam satu serbuan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 21 Mei - Polis berjaya membongkar kegiatan menghasilkan resit palsu bagi bayaran tol perjalanan sepanjang Projek Lebuh Raya Utara Selatan dalam satu serbuan di Taman Keramat Permai di sini, Isnin lalu.

Hasil kegiatan licik kumpulan itu, mereka berjaya meraih keuntungan lumayan antara RM400 dan RM600 sehari.

Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada ratusan pemandu lori yang menggunakan resit itu untuk membuat tuntutan daripada pihak majikan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah kedai, hasil maklumat awam dan risikan pihak polis selama seminggu.

Katanya, berikutan itu, seorang wanita warga Indonesia berusia 34 tahun ditahan ketika sedang memproses resit-resit palsu bercetak perkataan PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan).

''Polis turut merampas sebuah komputer, beberapa gelung kertas yang siap bercetak perkataan PLUS, wang tunai RM500 dan empat keping jadual perjalanan tol seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafien berkata, hasil siasatan lanjut, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki dalang kegiatan kumpulan tersebut.

Menurut beliau, susulan itu, seorang lagi lelaki berusia 52 tahun yang juga pemandu lori ditahan kerana bertanggungjawab sebagai pembeli gelung resit bercetak perkataan PLUS.

"Berdasarkan siasatan, pelanggan mereka hanya perlu datang ke premis tersebut dan menyatakan lokasi perjalanan yang diingini sebelum diberikan resit palsu.

"Dengan membayar RM1 hingga RM4 bagi setiap resit, pemandu lori membuat tuntutan sehingga mencecah ratusan ringgit bagi setiap perjalanan daripada majikan masing-masing," tambahnya.

Shafien berkata, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan sindiket tersebut memperoleh resit bercetak berkenaan daripada pihak sama yang membekalkan bahan itu kepada syarikat PLUS.

Ketiga-tiga suspek itu katanya, kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebat serta denda.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.