Perjuangan Ashaari Tegak Islam Diteruskan : Muhammad Inaamullah, Anak Abuya


REMBAU, 14 Mei — Anak pengasas kumpulan Al-Arqam, Ashaari Muhammad dikebumikan di tapak perkuburan Pilin, Rembau yang meninggal dunia semalam ketika dalam usia 72 tahun berkata, perjuangan menegakkan Islam akan diteruskan walaupun tanpa ketiadaan Allahyarham. Muhammad Inaamullah, 38, anak ke-10 daripada 38 beradik memberitahu, “perjuangan ayah untuk menegakkan Islam akan tetap diteruskan.” “Ia tidak akan terhenti meskipun ayah sudah meninggal dunia. Selama ini pun, ayah tetap meneruskan perjuangan beliau walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan.

“Beliau tetap tabah menghadapi semua itu,” kata beliau ketika ditemui di sini malam tadi.

Muhammad berkata, Allahyarham Ashaari dimasukkan ke Hospital Ipoh Specialist Center Isnin lalu selepas mengadu sakit dada.

“Sebelum ini memang Allahyarham selalu berulang-alik ke hospital kerana penyakit tersebut tetapi saya tidak menyangka beliau akan pergi buat selama-lamanya semalam.

“Saya sudah sebulan tidak berjumpa dengannya kerana selama tiga bulan beliau bermusafir di Australia, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin dekat sini pada kira-kira pukul 10 malam tadi.

Jenazah Ashaari, yang dibawa dengan kereta persendirian dari Ipoh tiba bersama rombongan di kampung asal Allahyarham, Kampung Pilin kira-kira pukul 8.30 malam.

Kira-kira 2,000 orang hadir pada majlis pengkebumian. Ashaari lebih dikenali dengan panggilan Abuya oleh para pengikutnya meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang semalam, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru.

Sementara itu, pengikut kanan Ashaari, Zeid Akhta Mohd Arif, 39, berkata semenjak 2004 Allahyarham Ashaari banyak memberikan tumpuan ke atas perniagaan Islam yang diasaskannya, Global Ikhwan Sdn Bhd.

“Allahyarham banyak memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan yang mana kita mempunyai sebanyak 700 rangkaian di seluruh dunia,” katanya.

“Jadi Allahyarham sibuk melawat rangkaian-rangkaian perniagaan. Kita banyak menghasilkan produk Islam seperti produk makanan dan minuman,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bekas anak murid Ashaari, Azman Abdillah, 38, berkata, semenjak Al-Arqam diharamkan pada 1994 beliau tidak pernah bertemu Ashaari kerana mempunyai komitmen lain.

“Walaupun tidak berjumpa kami masih menghubungi antara satu sama lain.

“Ini kerana hubungan antara seorang guru dan anak murid tetap tidak akan putus,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham Ashaari merupakan seorang individu yang konsisten dalam perjuangan dan mempunyai pendirian teguh.

“Beliau seorang yang konsisten, mempunyai sasaran yang tidak pernah berubah, misi dan visi tetap sama selain tidak pernah mengalah dalam memperjuangkan Islam.

“Beliau tidak pernah memperjuangkan Islam dengan cara kasar sebaliknya lebih bersifat lembut dengan mengajak orang supaya mendekatkan diri dengan Allah.

“Selain itu, beliau berjuang dengan ikhlas dan tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Boleh katakan beliau berdakwah dengan lembut dan sabar,” katanya.

Seorang lagi anak murid Ashaari, Abd Rahman Mohamad, 40, berkata Allahyarham Ashaari mempunyai teknik pembalajaran yang pelbagai namun tujuannya tetap sama iaitu mendekatkan diri dengan Allah.

“Saya sudah 23 tahun menjadi anak murid beliau dan sepanjang tempoh tersebut banyak yang telah saya pelajari.

“Beliau sering mengingatkan supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Seorang lagi anak murid Ashaari, Zulkifli Mohd Noor, 52, berkata Allahyarham mempunyai peribadi dan perwatakan yang begitu baik selain ikhlas dalam memperjuangkan Islam.

“Allahyarham ikhlas dalam memperjuangkan Islam dan apa yang beliau katakan pasti akan dilaksanakan.

“Kematian beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada anak-anak murid tetapi orang Islam juga.

“Namun begitu, beliau banyak meninggalkan khazanah seperti buku-buku, kaset dan sebagainya yang boleh dijadikan panduan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.