Najib dicabar saman media antarabangsa, Sekatan Eksport Gas Kepada Iran



KUALA LUMPUR, 19 April: PAS mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaman media antarabangsa berhubung pendedahan tentang sekatan eksport gas ke Iran oleh Petronas.

Laporan seperti The Wall Street Journal, AFP dan Reuters sebelum ini melaporkan sekatan terhadap Iran itu dibuat sebagai usaha Malaysia untuk menyokong Amerika yang berkempen untuk melakukan sekatan ke atas negara itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, walaupun Najib menafikan bahawa Petronas menghentikan bekalan gas ke Iran kerana menyokong kempen Amerika, namun itu tidak dapat menafikan kerjasama Malaysia untuk menekan Iran bersama Amerika.

Media AFP jelasnya turut melaporkan bahawa Najib dalam pertemuannya dengan Barack Obama didalam Nuklear Security Summit, Washington baru-baru ini memberikan amaran kepada Iran bahawa negara itu perlu mendapatkan kepercayaan antarabangsa dan satu-satu cara untuk mendapatkan perkara itu adalah dengan bersikap telus dan membenarkan IAEA membuat siasatan keatas program nuklear di negara itu.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan pendedahan bahawa kerajaan Malaysia membayar syarikat perunding yang dikuasai pelobi Israel, APCO dengan bayaran RM 77 juta setahun. Dan APCO yang menjadi sandaran untuk program 1 Malaysia juga merupakan syarikat perunding utama yang banyak mempengaruhi keputusan Amerika dan Britain untuk menyerang Iraq pada 2003.

Syarikat sama juga katanya pernah memainkan peranan memburuk-burukkan negara Islam selepas tragedi 911, dalam usaha mereka melindungi kepentingan kuasa zionis di Timur Tengah.

"Tekanan ke atas Iran juga dipercayai adalah pengaruh dari APCO yang melihat negara itu sebagai ancaman.

"APCO juga telah membawa Najib berjumpa Obama, untuk mengukuhkan pengaruh mereka dinegara ini selepas rakyat mengetahui pembabitan mereka dalam Kerajaan selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Keengganan Najib menyingkirkan APCO dari Putrajaya pula jelasnya membuktikan Kerajaannya dikongkong dan tidak bebas dari pengaruh antarabangsa.

"Malaysia yang selama ini bersuara lantang dalam isu Palestin dan Nuklear menjadi lemah selepas Najib mengambil alih.

"Najib perlu membuktikan identiti Malaysia dalam dirinya dan meneruskan hubungan baik negara ini dengan Iran dan seluruh negara Islam," tegasnya lagi.

Selain itu, Malaysia juga katanya harus mainkan peranan untuk membantu Iraq memerdekakan dirinya dari penjajahan serta menghalang usaha Amerika dan sekutunya yang tekad untuk menyekat ekonomi Iran.

"Rakyat menunggu Najib menyaman media-media barat dan menghalau APCO dari negara ini dengan segera sebagai membuktikan komitmennya dalam membina hubungan baik dengan Iran dan negara Islam lainnya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.