Royalti: Teliti Dokumen Wang Ehsan Parlimen Minta Seminggu


KUALA LUMPUR: Parlimen hari ini meminta tempoh seminggu untuk meneliti segala dokumen dan fakta yang dikemukakan seorang ahli Parlimen pembangkang mengenai wang ehsan yang perlu dibayar kepada rakyat Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau mahu melihat dulu dokumen tersebut kerana kurang jelas terhadap isu yang dibawa pembangkang.

"Saya tidak mahu memanjangkan cerita ini, saya kurang jelas soal latar belakang, saya belum lihat semua dokumen, saya minta beri peluang saya satu minggu untuk melihat semua dokumen ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Selepas selesai sesi soal jawab di Parlimen, Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) membawa usul yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penyelewengan di dalam dewan mengenai isu wang ehsan.

Beliau berkata, penyelewengan itu berlaku ketika Najib menjawab soalan beliau pada 4 November 2009 mengenai bila tuntutan royalti minyak rakyat Kelantan akan dibuat oleh Petronas.

"Pada ketika itu, Perdana Menteri telah menjawab di dalam dewan yang mulia ini dengan mengatakan bahawa Kelantan termasuk Terengganu yang kawasan minyaknya terletak di luar pantai atau offshore tidak layak mendapat bayaran royalti dan dengan itu beliau menyatakan bahawa meskipun peruntukan itu jelas, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan wang ehsan ke Terengganu dengan mengambil kira pengeluaran petroleum yang terletak di luar negeri tersebut," katanya.

Salahuddin berkata, jawapan Perdana Menteri itu dilihat bertentangan dengan kandungan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Petronas pada 16 September 1978 yang dialamatkan kepada Datuk Setiawangsa Pegawai Kewangan Negeri, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu mengenai anggaran pembayaran royalti minyak petroleum.
"Adakah jawapan yang diberikan Perdana Menteri dalam dewan yang mulia ini yang mengatakan itu adalah wang ehsan sama sekali bertentangan dengan surat yang dialamatkan dan dihantar Petronas yang jelas menunjukkan fakta wang itu dibayar dengan wang royalti bukannya wang ehsan," katanya.

Justeru, beliau memberi tempoh seminggu untuk Perdana Menteri membuat penjelasan berhubung perkara tersebut. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.