Dipenjara jika gagal bayar nafkah: Menteri Kampungku


Jamil: Bekas suami boleh dipenjara jika gagal bayar nafkah

YAN, 20 Mac — Bekas suami yang enggan atau gagal membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing boleh dikenakan hukuman penjara selama sebulan mengikut enakmen dan akta kekeluargaan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata wanita terbabit seharusnya melaporkan segera kepada Mahkamah Syariah mengenai keingkaran bekas suami membayar nafkah supaya pendakwaan dapat diambil terhadap mereka.

“Kegagalan bekas isteri berbuat demikian menyebabkan banyak kes tuntutan nafkah tertangguh atau gagal diselesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita hari ini selepas menyampaikan sumbangan wang tunai RM13,000 kepada 13 mangsa kebakaran di Pekan Sungai Limau, di sini, Februari lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia semalam mengenai 12,300 bekas suami dikesan enggan membayar nafkah masing-masing walaupun mereka sudah diperintah berbuat demikian oleh mahkamah syariah di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir menasihatkan wanita di negara ini supaya memikirkan kesan jangka panjang sebelum mengahwini pemuda warga asing bagi mengelak sebarang masalah.

Katanya mereka seharusnya mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku kepada wanita tempatan lain selepas mengahwini lelaki warga asing seperti yang sering dipaparkan oleh media.

“Kesan seperti kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan taraf hidup rendah yang dialami wanita tempatan seharusnya difikirkan sedalam-dalamnya,” katanya.

Katanya, cadangan Pergerakan Puteri Umno agar kerajaan membekukan pengambilan tenaga kerja dari Lombok, Indonesia, berikutan trend kahwin lari membabitkan lelaki dari wilayah itu semakin membimbangkan, wajar diberi perhatian. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.