Alhamdulillah...Tanpa Tuisyen Wan Mazuan cemerlang




AIR PUTEH – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Air Puteh (SMKAP) membuktikan seseorang pelajar itu mampu memperoleh pencapaian cemerlang walaupun tidak mengambil kelas tuisyen apabila memperoleh 11A 3B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Wan Mazuan Wan Mahmud, 18, merupakan anak ke lima daripada lapan beradik mencatat sejarah sekolah itu dengan pencapaian cemerlang yang dimilikinya.

Menurutnya, dia tidak menyangka dengan keputusan yang diperolehnya itu kerana dia hanya menyasarkan 8A dalam SPM memandangkan dia hanya mengharapkan pembelajaran di sekolah dan belajar sendiri.

“Faktor kewangan tidak mengizinkan saya mengambil kelas tuisyen.

“Saya mengambil inisiatif belajar sendiri dan mengharapkan tunjuk ajar daripada guru-guru,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mazuan berkata, keinginannya mengejar cita-cita untuk menjadi seorang doktor, dia memberanikan diri mengambil lima lagi mata pelajaran tambahan walaupun mata pelajaranitu tidak diajar di sekolahnya.

“Saya merasakan ia satu keperluan.

“Saya berusaha belajar sendiri dengan membeli buku-buku rujukan dan bertanya kepada guru sesuatu yang tidak difahami kerana dengan cara itu sahaja mampu saya lakukan,” katanya.

Katanya, ketika di dalam kelas dia memberi perhatian sepenuhnya dan duduk di barisan hadapan serta tidak pernah belajar sehingga lewat malam merupakan salah satu faktor kejayaannya.

“Saya hanya belajar pada waktu petang dan malam sehingga jam 11 malam sahaja dan tidak pernah bangun pada awal pagi seperti sesetengah pelajar yang lain.

“Saya juga tidak mempunyai jadual pembelajaran,” katanya.

Dia berkata, antara subjek tambahan yang diambil ialah Kesusteraan Melayu, Prinsip perakaunan, Ekonomi asas, Tasawuf Islam, English for Science and Technology.

Sementara itu, bapanya, Wan Mahmud Wan Mansor, 57, merupakan bekas pesara polis ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia tidak mampu menghantar anaknya ke kelas tuisyen luar kerana masih menyara lima anak yang masih dalam tanggungan.

Menurutnya, dia hanya mengharapkan wang pencen pesara polis dengan jumlah RM1,500 sebulan yang digunakan untuk menyara anak-anak yang masih belajar.

Ibunya, Rokiah Mat, 50, meluahkan rasa gembira dengan kejayaan anaknya itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu anaknya sehingga memiliki pencapaian cemerlang.

Ikutan kejayaan ini, Sinar Harian dimaklumkan Wan Mazuan memperoleh banyak sumbangan daripada pihak sekolah.

1 comments:

  1. cayo2 wan.. smk ayer puteh pecah rekodnyer

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.