Wanita, & Pemuda Umno kecewa tindakan Ku Li


GUA MUSANG: Sayap Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang hari ini meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Ketua Umno Bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah, kerana berceramah di atas pentas kerajaan negeri pimpinan Pas berhubung isu royalti petroleum di Kelantan baru-baru ini.

Kedua-dua pergerakan itu menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh memberi impak yang tidak baik kepada Umno amnya selain mengeruhkan lagi keadaan.

Ketua Wanita Bahagian, Datuk Wan Hazani Mohd Nor, berkata kenyataan yang dibuat bekas Pengerusi Petronas itu juga bertentangan dengan apa yang pernah beliau nyatakan semasa isu serupa berlaku di Terengganu.

"Ku Li (Tengku Razaleigh) tidak menceritakan keadaan sebenar isu tersebut seperti apa yang dinyatakan berhubung isu yang sama di Terengganu 10 tahun lalu.

"Kami kecewa dengan apa yang dilakukan Ku Li dan masih belum terlambat buat pemimpin kami perbetulkan keadaan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sementara itu, pada satu majlis di Kuala Krai, Pemuda Umno Kelantan mencadangkan Majlis Tertinggi (MT) memanggil Tengku Razaleigh bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan beliau semasa ceramah itu sebelum mengambil sebarang tindakan. Setiausahanya, Bazlan Baharuddin, berkata Tengku Razaleigh wajar menjelaskan tujuan beliau menyertai kerajaan negeri mendesak kerajaan persekutuan agar memberikan royalti minyak kepada Kelantan.

"Memang barisan Pemuda berasa kecewa kerana pemimpin kami sanggup berbuat demikan tetapi apapun kami mahu penjelasan Ku Li," kata Bazlan yang juga Ketua Pemuda Umno Gua Musang.

Seorang veteran Umno bahagian itu Sharif Mahmood, 58, berkata tindakan Tengku Razalegh itu menjadi bualan bagi anggota Umno dan penduduk di sini.

"Ku Li yang kami sanjung ini sepatutnya menjadi orang tengah untuk menjernihkan keadaan dan bukannya seperti minyak yang membakar api," katanya.

Sharif berkata, anggota parti bahagian itu kini tertunggu-tunggu penjelasan Tengku Razaleigh mengenai perkara tersebut.

Bagi seorang pemilik kedai makan di Chiku 2 di sini, Abas Solihin, 42, dia nyata kecewa dengan apa yang dilakukan Tengku Razaleigh itu.

"Kami terkejut Ku (Li) sanggup diperkudakan pihak lain dan sebagai pemimpin yang kami hormati, janganlah kecewakan kami lagi," katanya.

Dalam ceramah anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan kerajaan negeri di Kota Baharu baru-baru ini, Tengku Razaleigh antara lain berkata Kelantan berhak mendapat royalti minyak itu.

Kenyataan Tengku Razaleigh itu menimbulkan kontroversi kerana semasa menjelaskan isu serupa di Terengganu kira-kira 10 tahun lalu, beliau berkata negeri tersebut dan Kelantan tidak berhak ke atas royalti minyak tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.