Lagi Pengarah Island Red Cafe Didakwa


KUALA LUMPUR: Seorang lagi pengarah Syarikat Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini kerana tiga tuduhan menipu dan memperdayakan pelabur membabitkan RM16 juta.

Ong Tong Swan, 33, yang mengaku tidak bersalah, didakwa melakukan tiga kesalahan itu di syarikat tersebut di 5M, Jalan Pandan Indah, di sini antara 1 Januari 2008 dan 28 Februari 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan seorang lagi pengarah syarikat itu, Teow Wooi Huat, untuk menipu dan memperdayakan 93 orang untuk membuat pelaburan dalam program "Island Red Cafe" di mana pelabur itu telah membayar sebanyak RM1,040,400 kepada syarikat tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965, dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 atau tujuh tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa sengaja melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(d) Akta Syarikat 1965, iaitu mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang berjumlah RM15,061,800 ke dalam akaun syarikat itu bagi tujuan memasuki program 'Island Red Cafe' untuk tempoh lima tahun.

Ong didakwa mengikut Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat tersebut melalui satu program yang dikenali sebagai 'Program Island Red Cafe', walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual beli saham.

Jika sabit kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 363(5) akta yang sama, mereka boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun.

Hakim Azwarinda Affandi membenarkan Ong diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan.Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia Rezy Izwan Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Raymond Yap.

Sementara itu pada 9 Februari lepas, Teow Wooi Huat dan anaknya, Teow Chee Chow, 21, juga pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang kerana tiga kesalahan yang sama.

Kes itu didengar di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.