HEBAT!! Subkhiddin Terpilih Adili Aksi Piala Dunia


PUAS berkorban sekian lama, Subkhiddin Mohd Salleh akhirnya merintis sejarah baru apabila terpilih selaku pengadil pertama negara untuk mengadili pusingan akhir bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, Jun ini.

Subkhiddin adalah antara empat pengadil benua Asia yang tergolong dalam kelompok 30 pengadil - daripada 28 negara seluruh dunia - yang diumumkan terpilih oleh Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kelmarin.

“Saya tidak tahu apa nak kata. Dada saya berdebar-debar. Memang saya amat gembira. Ini ibarat mimpi jadi kenyataan. Susah nak percaya,” katanya ketika dihubungi sebelum mengadili aksi Piala FA di antara Kedah dan Sabah, semalam.

Pada usia 44 tahun - setahun sebelum had usia 45 tahun yang mewajibkannya bersara di peringkat antarabangsa - berita itu menutup hampa yang pernah membuatkannya hampir melupakan bidang pengadilan itu, empat tahun lalu.

Kerana pengadil kelahiran Bagan Ajam, Pulau Pinang itu bersaing hingga ke peringkat pemilihan terakhir untuk Piala Dunia 2006 di Jerman lalu, tetapi akhirnya tersisih, sebelum kecewa diubati dengan berita terbaru itu.

“Ini satu cabaran berat. Saya memikul nama negara dan tidak mahu mensesiakan penghormatan ini,” katanya.

Ranjau bagaimanapun masih ada untuknya. Subkhiddin akan ke Zurich untuk pemeriksaan perubatan, penghujung bulan ini, ujian kecergasan di Sepanyol pada April nanti.

Dua pegawai perlawanan negara - Allahyarham Kapten Abdul Halim Hamid dan Mat Lazim Awang Hamat - pernah juga terpilih ke pusingan akhir Piala Dunia, tetapi hanya berwatak selaku pembantu pengadil.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.