Pampasan RM1.5 juta kerana 'hilang' dua kaki

29 Jan 2010, SINGAPURA
Kes kemalangan warga M'sia di tempat kerja tiga tahun lalu diselesai di luar mahkamah

TIGA tahun selepas kehilangan kededua kakinya akibat satu kemalangan di tempat kerja, Encik Abu Bakar Evos akhirnya menerima wang pampasan sebanyak $590,000 daripada bekas majikannya, Likok Pte Ltd.

Dalam satu penyelesaian di luar mahkamah semalam, Likok Pte Ltd bersetuju membayar 70 peratus daripada wang pampasan tersebut manakala 30 peratus lagi akan ditanggung syarikat insurans AXA.

Ketika dihubungi Berita Harian semalam, Encik Abu Bakar, 27 tahun, yang kini tinggal di Sarawak, begitu gembira dengan berita yang disampaikan peguamnya, Encik Pritam Singh Gill.

'Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas kerja keras Encik Gill membantu saya mendapatkan keadilan,' ujar bapa tiga anak itu.

Warga Malaysia berkenaan terlibat dalam satu kemalangan di tempat kerjanya di kilang kertas pada 2007, mengakibatkan beliau kehilangan kedua-dua belah kakinya.

Mengikut kenyataan fakta kes, sebelum kemalangan itu, operasi kilang tempat Encik Abu Bakar bekerja ialah para pekerja mengitar kertas diperlukan memasukkan penyendat kertas (paper compactor) sebanyak 10 kali sehari ke dalam mesin untuk menukar kertas selain mengeluarkan kertas yang berlebihan dan tersendat.

Mereka diminta agar menggunakan sebatang paip PVC atau kaki bagi kerja-kerja tersebut.

Namun, setiap kali pintu mesin itu dibuka, satu sensor akan secara automatik mematikan bekalan elektrik ke mesin tersebut.

Masa yang panjang pula diperlukan untuk memulihkan semula bekalan elektrik setelah pintu ditutup. Ini menjejas daya pengeluaran dan membazir banyak kuasa elektrik.

Lantas pada April 2006, pengurus syarikat itu, Encik Haw Say Heng, mengarahkan pekerjanya memasang panel besi di atas sensor tersebut supaya mesin itu terus beroperasi walaupun setiap kali pintu dibuka.

Pekerja pula diberi arahan tanpa bertulis agar menukar suis mesin daripada automatik kepada manual sebelum mereka masuk ke dalam mesin tersebut.

Pada 13 November 2007, Encik Abu Bakar masuk ke dalam mesin itu. Beliau menggunakan kakinya untuk mengeluarkan kertas yang tersendat. Sekitar 1 petang pada hari yang sama, beliau terjatuh ke dalam mesin itu.

Apabila mesin itu hidup semula, Encik Abu Bakar, yang baru bekerja selama tiga bulan, cuba untuk keluar. Malangnya beliau tidak sempat berbuat demikian dan akibatnya kedua-dua kakinya 'terhentak' ke dinding.

Kaki kanan Encik Abu Bakar hampir putus daripada bahagian buku lalinya sementara kaki kiri beliau pula patah. Menurut kenyataan tuntutan pula, syarikat tersebut mengabaikan keselamatan dan gagal mengawasi pekerjanya semasa mesin tersebut sedang digunakan.

Bagi kegagalan mematuhi undang-undang keselamatan, syarikat itu dikenakan hukuman denda sebanyak $100,000, sementara Encik Haw dikenakan denda sebanyak $30,000 pada 31 Disember 2008.

Encik Abu Bakar berkata beliau akan menggunakan wang itu untuk memulakan perniagaan. 'Saya akan gunakan sedikit wang itu untuk membuka sebuah gerai makan dan bakinya akan saya simpan untuk masa depan anak- anak,' ujarnya melalui telefon.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.