Tak Ada Masalah Dinar Emas dan Dirham perak Untuk Disimpan - Timb. Menteri

Kerajaan pusat tiada masalah jika dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan kerajaan Kelantan hanya untuk disimpan bukan bagi diniaga di pasaran terbuka, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.

Beliau berkata kerajaan pusat akan menentangnya jika kerajaan negeri cuba menggunakan kedua-duanya sebagai mata wang kerana ia menyalahi peraturan Bank Negara Malaysia dan boleh menganiyai orang ramai selain peniaga.

"Selain mudah ditipu dengan dinar emas palsu bahan logam itu juga nilai harganya turun naik setiap saat di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang zakat kepada fakir miskin di Dewan Haji Hussin, Perupuk di Bachok, hari ini.

Seramai 1,000 fakir miskin di kawasan dewan undangan negeri Perupuk masing-masing menerima wang zakat sebanyak RM70 sumbangan institusi kewangan kerajaan termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), UDA Holding Sdn.Bhd dan Bank Rakyat.

Sebelum ini kerajaan negeri memperkenalkan dinar dan dirham itu sebagai transaksi yang akan digunakan lebih 100 peniaga termasuk sebagai gaji kepada kakitangan kerajaan Kelantan.

Awang Adek yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan mengakui beliau pernah menerbitkan dinar emas menerusi sebuah syarikat yang diterajui sebagai simpanan bukan untuk diniaga seperti yang didakwa.

Beliau mencabar kerajaan negeri agar menunjukkan bukti jumlah penggunaan dalam tempoh empat bulan akan datang jika benar dakwaan ia mendapat sambutan daripada pelbagai pihak selepas diperkenalkan.

"Saya tidak fikir penggunaannya melebihi RM1 bilion dalam tempoh berkenaan," katanya.

- Bernama

MP Serdang Memohon Maaf Atas Lawatan Ikhlas Ke Surau Al Huda

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai 'tazkirah' di surau, hari ini memohon maaf.

Katanya, beliau menyesal kerana lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan
politik mereka.

“Saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pada Ahad, 22hb Ogos, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.,” katanya.

Ikhlas dan murni

Teo menegaskan lawatannya itu adalah “secara ikhlas dan murni serta tidak berniat politik” dan “tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan”.

Beliau yang kesal dengan tindakan pihak yang berkepentingan yang cuba mempolitikkan lawatannya itu berkata akan lebih berhati-hati pada masa depan.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

Semalam, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor dilaporkan amat murka dan dukacita terhadap laporan akhbar berhubung 'tazkirah' Teo di surau berkenaan.

Sehubungan itu, katanya Mais dititahkan bertindak tegas, termasuk mengambil alih surau itu dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta.

Mohamad Adzib juga berkata, surat amaran akan juga diberikan kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulanginya lagi.

Thank You MB Kedah : RM3 juta Untuk Kakitangan Kerajaan Negeri, Masuk Seminggu Sebelum Raya

YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

"Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidan kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.

Takziah: Bekas Penyerang Bolasepak Kebangsaan Bersama Mokhtar Dahari Meninggal Dunia Pagi Ini... Al Fatihah

Isa Bakar

GEORGE TOWN: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Isa Bakar, 58, meninggal dunia pada pukul 10.15 pagi tadi di Hospital George Town, Pulau Pinang.

Sepupunya, Roslan Meah Mohd Meah berkata, allahyarham telah dimasukkan ke hospital sejak semalam selepas mengalami batuk berdarah.

"Selepas dimasukkan ke hospital dia ok dan dapat bercakap dengan abangnya, Osman. Tiba-tiba pagi ini kami diberitahu dia telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

ERA KEGEMILANGAN... Allahyarham, Isa Bakar (kiri) tersenyum gembira apabila rakan sepasukannya, Mokhtar Dahari berjaya menjaringkan gol ketika menentang Thailand, pada perlawanan peringkat kumpulan, kejohanan Piala Dunia. Malaysia menang 6-4.

Isa meninggalkan seorang balu, Mazlina Ismail dan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Jenazah beliau akan dibawa ke rumahnya di Sungai Ara untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Jalan Perak, Pulau Pinang petang ini.

Isa dan allahyarham abangnya, Ali mewakili negara sementara adiknya Omar menjadi pemain Pulau Pinang.

Pada era kegemilangannya, allahyarham bertindak sebagai pemain penyerang yang berbisa ketika berpasangan dengan pemain legenda, Mokhtar Dahari.

Bukan itu sahaja, pasukan negara ketika itu turut dikuatkan dengan ketangkasan penjaga gol, R. Arumugam, pemain pertahanan, Santokh Singh dan Soh Chin Aun serta pemain tengah, Reduan Abdullah dan Shukor Salleh yang melengkapkan era kegemilangan bola sepak negara pada tahun 1970 an.

Isa pernah bermain untuk pasukan Malayawata ketika zaman remaja dan selepas itu beliau menyertai pasukan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Telekom Utara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.