Nampaknya UMNO Makin Kuat Menhentam Ketua Pembangkang... Laporan Yang Putarbelit Fakta..

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno menggunakan isu APCO Worldwide untuk menyerangnya semasa berada di luar negara.

“Masalahnya, Umno menggunakan APCO, yang diketahui mempunyai hubungan dengan Israel, untuk menyerang saya di luar negara,” ujarnya kepada media di Parlimen petang ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini berhubung perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Yahudi di Washington sebagaimana laporan akhbar Washington Post, Isnin lalu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Anwar yangh dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Anwar itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.

Berkenaan dengan zionis, Anwar menjelaskan, beliau ditanya kenapa menggunakan perkataan itu.

Jelasnya, mengikut fahamannya, zionis adalah berhubung kait dengan pencerobohan dan dasar imperial Israel yang terus memperluaskan wilayah Israel yang asal sehingga dalam keadaan sekarang.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, mereka kata, bagi mereka zion adalah tanahair Yahudi.

“Saya kata jika itu istilah anda, ia berbeza dengan apa yang saya faham. Itu yang diputar belit oleh Utusan (Malaysia).

“Bila saya kata ‘dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel', itu Utusan tak sebut. Bila yang membayar lebih RM70 milion kepada APCO, itu Utusan tak sebut, jadi kita fahamlah. Saya pun tak fikir RTM dan TV3 akan sebut, itu faktanya,” kata beliau lagi.

Anwar menjelaskan, tujuan beliau ke Washington adalah di atas jemputan Woodrow Wilson International Center untuk memberikan syarahan.

Selepas itu, katanya seperti biasa diadakan perjumpaan yang telah diatur untuk kakitangan editorial dan media antarabangsa.

“Ramai rakyat Amerika dan Yahudi merasakan ia adalah satu terjemahan yang tidak adil kerana bagi mereka, zion adalah negeri/kerajaan yang adil dan sah.

“Jadi saya katakan pada mereka, jika itu maksud mereka, saya tidak merasakan demikian, dan saya tetap dengan pendirian dan fahaman saya bahawa zionis itu adalah pencerobohan dan penjajahan,” jelasnya.

PM Tidak Menjawab Soalan MP Padang Serai Berkenaan Kos Perbelanjaan Rosmah Ke New York

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendedahkan kos yang dibelanjakan bagi membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke New York, April lalu meskipun didesak supaya berbuat demikian di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulisnya kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Najib mengelakkan daripada memberikan sebarang jumlah.

"Kos perbelanjaan penginapan dan perjalanan Datin Seri Rosmah adalah termasuk di dalam perbelanjaan yang disediakan untuk perdana menteri, selaras dengan kedudukan beliau sebagai isteri perdana menteri,” kata Najib dalam jawapan satu perenggannya.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak.

Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April.

Majlis itu juga dihadiri oleh bintang filem antarabangsa seperti pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro, Charlize Theron dan Emmy Rossum, serta diacarakan oleh Jamie Foxx.

Ketika majlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU).

Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx.

Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada “keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia”.

Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong.

Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.

Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut.

Bercakap kepada wartawan, Gobalakrishnan berkata kerajaan harus telus dan mendedahkan kos sebenar perbelanjaan Rosmah.

"Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar,” katanya.

"Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM.”

RM200 juta: PKR Akan Jawab Di Mahkamah

Felda hari ini menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung penyiaran artikel "Felda bankrap" oleh akhbar berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata notis tuntutan sudah dihantar kepada PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, hari ini.

“Notis itu antara lain menuntut pampasan bagi reputasi yang tercemar ke atas Felda yang didakwa bankrap oleh Suara Keadilan dalam akhbar itu yang bertarikh 22 hingga 29 Jun dengan tajuk 'Felda Bankrap',” katanya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menjelaskan tidak akan melayan tuntutan RM200 juta dan tidak akan memohon maaf kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seperti dituntut mereka berhubung laporan 'Felda Bankrap' akhbar Suara Keadilan.

Naib Presidennya, Sivarasa Rasiah (gambar) berkata, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga Ahli Parlimen Subang, ketika ditemui di Parlimen hari ini.

"Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap parti itu dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan ‘bankrap’, maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," jelasnya lagi.

'Pendidikan seks perlu bermula 9 tahun' : Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN

Para pelajar perlu didedahkan dengan pendidikan seks di sekolah seawal umur 9 tahun atau darjah 3 lagi, kata Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Hamizah Mohd Hassan.

Menurut Dr Hamizah, hasil kajian menunjukkan golongan muda mula terlibat dengan seks bebas seawal umur 11 tahun tanpa mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perkara itu.

"Saya merupakan salah seorang panel yang membuat sistem kokurikulum yang baru di sekolah dalam pendidikan sains dan kesihatan.

"Saya telah mencadangkan kepada kementerian pelajaran supaya pendidikan seks diajar seawal sembilan tahun dengan memulakan pembelajaran mengenai bahagian-bahagian fizikal badan.

"Manakala pada umur 12 tahun, mereka boleh mula diajar mengenai persenyawaan. Saya harap, pelajaran ini akan mula diajar pada tahun 2011 atau 2012," kata Dr Hamizah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di forum pendidikan seks yang bertajuk 'Always Be Careful - Examine Your Zip' (Sentiasa Waspada - Periksa Zip Anda) yang dianjurkan oleh sebuah NGO Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) di ibu negara malam tadi.

Dapat filem lucah daripada bapa, pakcik


Turut sama memberikan dalam forum berkenaan ialah penggiat Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduksi Malaysia (FRHAM) Wong Li Lieng dan Pengasas Hak Reproduksi Perikatan Advokasi Malaysia (RRAAM) Rashidah Abdullah.

Membentangkan padangannya dalam majlis yang hanya hanya dihadiri tidak sampai 30 orang pendengar, Dr Hamizah berkata, golongan muda perlu diberi tunjuk ajar lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan hubungan seks.

Ini kerana, tambahnya, bagi golongan muda, pemikirannya masih lagi tidak berkembang.

Sementara itu, beliau mendedahkan, hasil daripada sesi kaunseling yang dikendalikannya, kebanyakkan mereka terjebak dengan seks bebas dengan mempelajarinya daripada media seperti filem dan internet.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana adakala keadaan sekeliling yang menjadi penyebab mereka terjebak dengan seks bebas.

"Ketika saya membuat sesi kaunseling dengan pelajar sekolah berumur 16 tahun, dia mengatakan, adakalanya dia mendapatkan filem pornografi daripada bapa mereka, abang mereka dan adakalanya pakcik mereka yang tinggal serumah.

Guru sebut 'anu'

"Hasil daripada menonton pornografi, mereka berasa ingin mencuba. Mereka tidak berfikir panjang kerana minda mereka tidak matang sepenuhnya. Mereka juga tidak memikirkan sebab dan akibat yang bakal mereka alami," kata Dr Hamizah.

Beliau juga mengkritik guru di sekolah yang tidak terlatih dan mengajar dengan cara yang tidak betul.

"Ada sesetengah guru apabila mengajar, mereka menyebut 'anu' dan bukan nama alat sulit tersebut," kata Dr Hamizah.

Sementara itu, Wong pula berkata, pendidikan seks di sekolah perlu diajar dalam konteks yang lebih mudah walaupun terdapat sesetengah pihak menganggapnya lebih mengalakkan remaja untuk melakukan seks.

"Kita perlu buat sesuatu seperti mengajar mereka tentang pendidikan seks. Remaja yang melakukan seks luar nikah semakin hari semakin banyak.

"Saya rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara ini lebih berleluasa," tegasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.