Syed Husin Ali Saman Utusan RM10 juta

Timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali hari ini memfailkan saman RM10 juta terhadap Utusan Melayu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Syed Husin, yang baru-baru ini dilantik sebagai senator oleh kerajaan negeri Selangor juga menamakan, pengarang akhbar milik Umno itu, Mohd Hassan Mohd Noor dan bekas pemimpin PKR Zamil Ibrahim sebagai defendan.

Dalam kenyataannya, Syed Husin mendakwa artikel pada 6 Mac, Utusan Malaysia yang berjudul 'RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis' adalah berunsur fitnah.

Artikel berkenaan yang dipetik berdasarkan sebuah blog mendakwa Syed Hussein telah dibeli oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibayar RM500,000 bagi membubarkan Parti Rakyat Malaysia, yang mana beliau adalah presiden dan kemudiannya menyertai PKR.

Syed Husin mendakwa Zamil pada atau sebelum 6 Mac berckap kepada seorang wartawan Utusan Malaysia, dan artikel berkenaan membayangkan timbalan presiden PKR itu bersalah dengan kegiatan rasuah.

Beliau juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud bahawa dia telah melakukan kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman penjara.

Artikel itu juga dikata mengambarkan seolah-olah Syed Husin seorang hiprokit dan tidak layak menjadi ahli politik, menikam rakan-rakan parti, tidak berprinsip dan tidak layat memegang jawatan timbalan presiden PKR.

Dia juga mendakwa penerbitan artikel itu telah memburukkan nama baik, kredit dan reputasinya.

Kerajaan Negeri Mahu Setiap Rakyat Miliki Rumah Sendiri

Bagi mempastikan keselesaan hidup rakyat, kerajaan berusaha menyelesaikan masalah perumahan dan akan berusaha supaya semua rakyat dapat memiliki rumah sendiri.



Demikian diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan YB Dato’ Ir Haji Phahrolrazi Md. Zawawi kepada wartawan Warta Darul Aman.



Katanya, keperluan rumah hari ini semakin meningkat berdasarkan jumlah yang mendaftar di Bahagian Perumahan mencecah 23 ribu pemohon.

“Jumlah ini adalah permohonan untuk rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah jenis ini dibina oleh GLC dan pihak swasta serta dibina di kawasan-kawasan ikut permintaan,” katanya.

Kerajaan menggalakkan pihak pemaju perumahan membina rumah mampu milik yang berharga RM150 ribu ke bawah seperti yang dibuat oleh Syarikat Seri Temin di Bandar Sejahtera di Pokok Sena. Rumah tersebut habis dijual di hari pelancaran lagi.

Manakala di Sungai Petani dan Kulim, katanya, bekalan rumah mampu milik ini sudah berlebihan yang telah diluluskan.



Selain itu pembangunan perumahan di daerah-daerah adalah mengikut permintaan dan kategori yang diperlukan ialah rumah mampu milik kerana rakyat golongan sederhana mampu membelinya.



“Kalau atas permintaan untuk rumah mahal tidak begitu banyak, permintaan mungkin datang dari pemaju yang mahu menjual kepada pembeli dari luar negeri Kedah. Ini berlaku di Bandar-bandar besar seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim,” katanya.



Menurut beliau lagi, mengikut perancangan perumahan tahun 2020 nanti, 60 peratus penduduk Kedah akan tinggal dalam taman-taman perumahan sementara 40 peratus tinggal di kampung tradisional atau kampung baru.



“Ini kerana generasi baru akan datang tidak ada tanah untuk membina rumah sendiri tetapi mereka ada pekerjaan dengan gaji bulanan untuk buat pinjaman membeli rumah. Mereka tidak mampu membeli tanah kerana tanah kampung bergeran besar tidak boleh buat pinjaman untuk tujuan ini.



“Rumah kampung tradisional tidak boleh buat pinjaman sebab takkan nak gadai satu geran yang besar libatkan harta orang lain. Hasilnya generasi yang kerja makan gaji dengan pendapatan sendiri akan beli rumah dalam taman,” katanya.



Trend ini juga, katanya, bergantung kepada cita rasa generasi akan datang yang suka duduk dalam kawasan perumahan yang ada kemudahan lengkap selain berdekatan dengan bandar dan pusat perniagaan. Ketika ini berlaku transformasi penduduk di mana kampung tradisional dan kampung baru ini akan mengecil dari segi peratus pertambahan penduduk.

Membasmi kemiskinan ditekankan kerajaan dalam merealisasikan cita-cita supaya rakyat hidup selesa. Untuk itu di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan juga Pejabat Daerah menjadi penyelaras kordinator kepada agensi-agensi yang memberi bantuan kepada rakyat terutama golongan miskin tegar. Miskin tegar ini adalah berpendapatan dibawah RM450 dan ketegori miskin pula sebanyak RM 720 seisi keluarga.



“Di peringkat ini pendaftaran dilakukan oleh e-Sinar dan kerajaan menyelaras agensi-agensi yang memberi bantuan supaya yang betul-betul layak sahaja menerima. Ini kerana sekarang ini masing-masing agensi memberi ikut permohonan kepada mereka.



“Jadi kita nak dapat maklumat permohonan yang belum dapat dan berapa agensi yang bagi bantuan. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zakat, Keda, Felcra dan agensi pusat serta Jabatan Pelajaran juga ada bantuan kepada pelajar sekolah. Selain itu bantuan perniagaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.



Ini diselaraskan oleh UPEN melalui pendaftaran e-Sinar di mana sehingga kini sebanyak 7,000 telah didaftarkan dan kemungkinan jumlah pendaftaran akan mencecah 20,000 orang.



Berhubung isu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pusat, beliau menjelaskan bahawa Negeri sentiasa memberi kerjasama erat kepada Kerajaan Pusat demi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.



Katanya, mesyuarat sentiasa diadakan bagi mempastikan kelancaran projek-projek peruntukan Pusat yang melibatkan agensi kerajaan negeri.

“Seperti projek keretapi ‘double tracking’. Ini projek besar di bawah Kementerian Pengangkutan yang diserah kepada Syarikat Gamuda. Kerajaan Negeri cuma terlibat dalam pengambilan tanah dan masalah sosial seperti pemindahan setinggan, kelulusan pelan bangunan dan jejambat. Kita akan bantu melalui pihak berkuasa tempatan,” katanya.


p/s: Admin pun belum ada rumah sendiri lagi... Moga2 cepat la ada rumah sendiri nanti

'Ceramah jalan terbaik nafikan lompat parti' : SU Pas Kedah

Tindakan PAS Kedah mengerahkan tiga exco PKR dan seorang ADUN DAP - yang dispekulasikan melompat parti - ke majlis ceramah Sabtu ini merupakan sebaik-baik cara bagi menafikan spekulasi itu.

Setiasuaha PAS negeri Senator Muhamad Yusof Husin berkata sekiranya wakil rakyat tersebut tidak tampil memberikan penjelasan, rakyat akan terus bimbang terhadap kesetiaan mereka pada Pakatan Rakyat.

"Masalah ini (lompat parti) boleh diselesaikan secara dalaman (parti). Selagi kita tak buat macam ini (ceramah), keresahan (rakyat) berterusan. Rakyat kata, kenapa kerajaan negeri tak bertindak (mencegahnya)?

"Jadi biar mereka (empat wakil rakyat itu) menjelaskan apa yang didakwa (kepada mereka) pada hari itu, dengan memberi penjelasan dengan penuh ikhlas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Muhamad Yusof mengulas desas desus bahawa keempat-empat wakil rakyat itu diminta bersumpah supaya setia bersama Pakatan di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Keempat-empat ADUN tersebut, S Manikumar (Bukit Selambau), Tan Chow Kang (Sidam) dan Lim Soo Nee (Kulim) daripada PKR. Manakala wakil DAP pula Lee Guan Aik (Kota Darulaman).

Mereka sebelum ini dilapor menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azizan, sekali gus telah menafikan khabar angin mahu keluar parti.

Malah, mereka juga dilapor bersetuju untuk hadir ke majlis tersebut bagi menyatakan pendirian mereka di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut, pada 22 Mei, jam 9 malam.

Diminta mengulas bagaimana khabar angin itu muncul, Muhamad Yusof berkata beliau tidak tahu menahu berhubung perkara itu.

Berhubung khabar angin Manikumar, Tan, Lim dan Lee diminta bersumpah taat setia di hadapan Azizan, Muhammad Yusof memberikan jawapan yang sama.

Beliau juga berkata, dalam ceramah Ahad ini, PAS sebagai tunjang utama kerajaan Pakatan di Kedah tidak memberikan apa-apa arahan khusus, sebalik hanya diminta menyatakan pendiriannya.

"Kita tidak tahu apa yang ada isi hati mereka. Kita tidak ada beri arahan apa-apa (untuk ucapan) kepada mereka dan parti," katanya.

Tambahnya, dalam majlis yang dijangka dihadiri ribuan penyokong Pakatan itu, Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim akan turut berucap. Manakala Azizan pula dijadual membuat penggulungan.

Muhamad Yusof itu juga menafikan PAS Kedah 'memaksa' keempat-empat ADUN itu hadir ke majlis tersebut.

"Kita tanya mereka (empat wakil rakyat itu) dulu, bukan kita tak ada hubungan dengan mereka," katanya.

Malaysia Boleh!! Malaysia antara 10 negara paling berdaya saing dunia

  NAJIB bergambar bersama   pemimpin negara yang hadir  pada Forum Ekonomi Islam Sedunia 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Dari kanan  Tun Musa Hitam,    Mohamed Nasheed,   Susilo Bambang Yudhoyono, Sultan Hassanal Bolkiah,   Abdoulaye Wade, Dr Fatmir Sejdiu dan  Sheikh Hasina Wazed.
NAJIB bergambar bersama pemimpin negara yang hadir pada Forum Ekonomi Islam Sedunia 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Dari kanan Tun Musa Hitam, Mohamed Nasheed, Susilo Bambang Yudhoyono, Sultan Hassanal Bolkiah, Abdoulaye Wade, Dr Fatmir Sejdiu dan Sheikh Hasina Wazed.
Pencapaian hasil pelaksanaan inisiatif berani majukan ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia kini tergolong dalam 10 negara paling berdaya saing dunia dengan menduduki tempat kesembilan, tahun ini berbanding tempat ke-18, tahun lalu.

Mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 yang diterbitkan Institute for Management Development (IMD), semalam, Malaysia mencapai nilai indeks 87.228 tahun ini, meningkat daripada 77.162 tahun lalu.
Ia meletakkan Malaysia sebaris Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Sweden, Kanada, Taiwan dan Norway, sebagai negara paling berdaya saing dunia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pencapaian 10 terbaik dunia adalah hasil pelaksanaan beberapa inisiatif yang inovatif dan berani oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, inisiatif itu turut merangkumi pembangunan sektor swasta yang berdaya tahan, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang lembap.

“Ini menunjukkan kerjasama awam dan swasta dapat dijadikan asas bagi pertumbuhan yang kukuh, stabil dan menyeluruh pada masa depan," katanya pada sidang media di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF 2010) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa berkata, pencapaian itu turut menggambarkan asas ekonomi negara yang kukuh.
Katanya, pencapaian itu turut diraih hasil daripada peningkatan tahap Kecekapan Kerajaan - satu daripada empat faktor input utama dalam pengkelasan daya saing - dengan Malaysia meningkatkan kedudukannya dari tangga ke-19 tahun lalu kepada kesembilan tahun ini, hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Tiga lagi faktor input utama dalam pengkelasan daya saing adalah Kecekapan Perniagaan, Prestasi Ekonomi dan Infrastruktur.

GTP yang dilancarkan tahun lalu memfokus kepada usaha memperkukuh persekitaran perniagaan, membanteras rasuah, memperbaiki infrastruktur, mempermudah prosedur kerajaan dan mengukuhkan sistem pendidikan.

“Bagi faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan, prestasi Malaysia mengatasi negara maju lain seperti Luxembourg, Switzerland, Kanada, Denmark dan Sweden.

“Kami percaya masih ada bidang di mana lebih banyak usaha perlu dilakukan. Kerajaan harus terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran persaingan global.

“Paling penting memberi penekanan usaha melahirkan modal insan yang inovatif dan kreatif," katanya.

IMD yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland menerbitkan laporan tahunan IMD World Competitiveness Yearbook sejak 1989 untuk memberi gambaran kedudukan daya saing negara mengikut indeks daya saing.

Bagi tahun ini, 58 negara mengambil bahagian dan IMD melaporkan kedudukan daya saing mengikut empat kategori iaitu kedudukan keseluruhan, kedudukan mengikut saiz penduduk, kedudukan mengikut kekayaan dan kedudukan mengikut rantau ekonomi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.